November 22, 2024

Search
Close this search box.

Seramai 33 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengikuti Kursus Budi Penyayang, Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) telah mengadakan program pertunjukan demo pembuatan sabun menggunakan sisa minyak masak terpakai kepada penduduk setempat di Mukim Sedili.

Program yang berlangsung di Taman Sinar Sedili itu bertujuan untuk mendidik serta membantu masyarakat setempat bagi menguruskan sisa minyak masak dengan menggunakannya untuk dijadikan sabun.

Wakil mahasiswa, Norashikin Hashim berkata selain menjaga kelestarian alam sekitar dari pencemaran yang diakibatkan oleh sisa buangan minyak masak terpakai ini, program ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk mengenai bagaimana sisa ini boleh dikitar dan digunakan semula sebagai sabun.

“Dengan pengetahuan untuk mengitar semula bahan terbuang ini, kita juga berjaya mengurangkan kadar pembuangan sisa minyak ke dalam saluran-saluran perparitan yang akan menyebabkan berlakunya pencemaran air, tanah dan sebagainya.

Kebanyakan daripada penduduk di sini berasa sangat teruja kerana diberi peluang untuk melihat dan membuat sendiri sabun yang dihasilkan dari minyak masak terpakai,”katanya ketika ditemui selepas sesi demonstrasi pembuatan sabun itu.

Sementara itu wakil penduduk yang hanya dikenali sebagai Azman berkata beliau berasa sangat teruja untuk mencubanya sendiri dan bercita-cita untuk menjadikan pembuatan sabun ini sebagai salah satu punca pendapatan bagi penduduk di situ.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada UTM kerana sudi berkongsi satu ilmu baru yang amat berfaedah kepada penduduk setempat. Selain membangkitkan kesedaran untuk mengitar semula, kami juga boleh mengaplikasikan kemahiran ini bagi menjana sumber kewangan daripada ilmu ini,” katanya lagi.

Mahasiswa UTM (berbaju merah) memerhatikan tiga penduduk tempatan mempelajari teknik menghasilkan sabun dari minyak masak terpakai.
Seorang penduduk tempatan mengacau campuran sisa minyak masak dalam mangkuk bagi dijadikan sabun.
Wakil penduduk tempatan yang dikenali sebagai Azman (kanan) ketika memberikan ucapan terima kasih kepada wakil UTM atas perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada penduduk setempat.

Explore More