November 26, 2024

Search
Close this search box.

Sukan Fakulti Sains (SUKFAS 19) Pupuk Semangat Kesukanan Mahasiswa Fakulti

Seramai 527 pelajar termasuk krew telah hadir bagi memeriahkan program sukan tahunan antara jabatan Fakulti Sains atau lebih dikenali dengan Sukan Fakulti Sains (SUKFAS) telah berlangsung pada hari Sabtu, 7 Disember 2019. Program yang berlangsung di padang Kolej 9 & 10 ini bertambah meriah apabila para pensyarah daripada setiap jabatan turut hadir untuk menyertai beberapa acara serta memberi sokongan kepada pelajar. Terdapat banyak acara sukan yang telah dijalankan. Antaranya futsal, bola jaring dan sukaneka.

Bagi SUKFAS kali ini, Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Abdull Rahim bin Hj. Mohd. Yusoff telah dijemput untuk merasmikan acara sukan tahunan ini.

Tujuan utama program SUKFAS ini diadakan adalah untuk memupuk semangat kesukanan, meningkatkan kecergasan diri mahasiswa serta kecerdasan minda mereka di samping merapatkan hubungan dalam kalangan mereka.

Program ini juga memberi peluang kepada para mahasiswa terutamanya pelajar tahun dua memperoleh pengalaman dalam mengendalikan program, memupuk semangat berdaya saing antara pelajar hasil daripada perlawanan antara jabatan serta semangat setiakawan dalam menyokong peserta lain.

Acara pertama yang diadakan ialah acara senamrobik yang dipimpin oleh pelajar-pelajar Sukan dan telah mendapat perhatian ramai sebelum diteruskan dengan acara-acara sukan seperti sukaneka, eksplorasi, bola jaring serta futsal.

Pada hari tersebut, acara telah diadakan di dua tempat iaitu di padang manakala bola jaring diadakan di gelanggang bola jaring dan futsal pula diadakan di gelanggang futsal. Bagi eskplorasi, setiap checkpoint diadakan di tempat yang berbeza. Acara kemuncak iaitu tarik tali diadakan setelah tamat semua acara dan acara ini yang menjadi penentu untuk mencari pemenang.

Majlis penutup telah diadakan dengan acara penyampaian hadiah menyaksikan Jabatan Matematik telah berjaya merangkul gelaran juara secara keseluruhannya dan Jabatan Biologi mengekalkan kemenangan di tempat kedua seperti tahun lalu. Tempat ketiga pula diraih oleh Jabatan Fizik dan tempat keempat dimenangi oleh Jabatan Kimia.

Para peserta dan krew memberi kerjasama yang baik dalam melangsungkan program ini. Peserta diminta meninggalkan kawasan padang tanpa sebarang sampah dan krew juga telah memastikan kawasan persekitaran bersih.

Diucapkan tahniah kepada para pemenang atas usaha yang dikerah serta tahniah kepada ahli jawatankuasa yang telah berjaya mengendalikan program SUKFAS dengan lancar dan jayanya serta dapat menangani segala permasalahan. Semoga SUKFAS pada tahun hadapan dapat berjalan dengan lebih baik.

Ditulis oleh: Nur Syamiera binti Sani dan Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin

Explore More