November 26, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa UTM Beri Kesedaran ‘Zero Waste’ Melalui Program Pembersihan Pantai

Seramai 33 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terlibat dalam program pembersihan pantai yang diadakan di Tanjung Leman, Mersing, Johor pada 16 November lalu.

Program anjuran Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) di samping turut mendapat kerjasama dari Unit Pelestarian Kampus (UTMCS) tersebut menyahut inisiatif ‘Zero Waste’ universiti untuk merubah minda masyarakat agar mementingkan alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Timbalan Pengarah UTMCS, Dr. Shazwin Mat Taib berkata program ini diadakan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat akan kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan alam semulajadi.

“Dalam program ini kami membersihkan pantai dan menjalankan pemuliharaan perairan pantai dalam masa sama mendidik masyarakat akan kesan negatif pencemaran terhadap ekosistem marin.

“Sebanyak 116 kilogram sampah telah berjaya dikumpulkan hasil dari kerja-kerja pembersihan yang dijalankan dalam linkungan 1 kilometer di sepanjang pantai yang turut mendapat kerjasama dari kakitangan Felda Residence Tanjung Leman yang berhampiran,” katanya.

Sisa buangan yang berjaya dikumpul termasuklah dari jenis seperti plastik, botol kaca dan lain-lain lagi dalam tempoh masa 1 jam dan direkodkan menggunakan aplikasi Clean Swell yang mampu mencatat setiap sampah yang dikumpul, menghitung jarak lokasi yang dibersihkan serta memberikan fakta-fakta secara ilmiah.

“Maklumat sampah yang diperolehi di perairan pantai ini boleh digunakan untuk inisiatif konservasi pantai pada masa yang akan datang,” ujar Dr. Shazwin.

Dr. Shazwin juga memaklumkan usaha pembersihan pantai yang dilakukan adalah kali ke-3 yang dilaksanakan pada tahun ini dalam usaha menunjukkan komitmen terhadap SDG yang kini menjadi agenda utama UTM.

Program Khidmat Masyarakat ini juga adalah merupakan sebahagian daripada syarat mendapat pemarkahan dalam mata pelajaran Budi Penyayang

Para mahasiswa UTM bergambar bersama timbunan sampah-sarap yang berjaya dikutip dalam khidmat sosial pembersihan pantai di Tg. Leman, Mersing, Johor.
Mahasiswa UTM mengutip sampah di sepanjang pesisir pantai di Tg. Leman, Mersing, Johor.
Timbunan sampah sarap yang berjaya dikumpulkan di Tg. Leman

Explore More