November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 Jan. — Sebanyak empat inisiatif telah digariskan oleh Unit Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi merancakkan lagi usaha menambah dana bagi tabung kebajikan mahasiswa itu.

Selain menggariskan empat inisiatif baharu, unit itu juga telah meletakkan sasaran untuk mengumpul sebanyak RM20 juta berbanding dengan RM 11.5 juta yang telah berjaya dicapai untuk tahun 2019.

Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon berkata empat Inisiatif 2020 yang telah dipersetujui adalah Penambahan Makanan Percuma, Pewujudan Tabung Endowmen Keusahawanan, Projek Tanaman Nenas dan Penjualan Nombor Pendaftaran Khas UTM.

Dr. Yusof menjelaskan bahawa bagi inisiatif pertama iaitu penambahan makanan percuma, pihak Endowmen akan mewujudkan tambahan almari kasih yang mengandungi makanan percuma.

“Bagi inisiatif pertama ini, kami akan menggandakan jumlah Almari Kasih Sayang yang menyediakan makanan percuma.

Melalui inisiatif ini kami akan tambahkan jumlah almari ini melebihi apa yang wujud sekarang supaya makanan percuma yang disediakan di dalamnya dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai mahasiswa yang memerlukan bantuan,” katanya lagi.

Dr. Yusof berkata melalui inisiatif kedua iaitu penwujudan Tabung Endowmen Keusahawanan, sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan bagi memberikan sejumlah wang dalam bentuk pinjaman kepada mahasiswa bagi memulakan sebarang aktiviti perniagaan.

“Pinjaman ini kami berikan kepada mana-mana mahasiswa yang mempunyai niat untuk berniaga dan dipulangkan secara berperingkat sama seperti pinjaman yang diberikan oleh pihak bank dan juga kerajaan.

Walaubagaimanapun kaedah, jenis dan juga amaun pinjaman ini masih dalam peringkat perbincangan dan akan direalisasikan dalam masa yang terdekat,” katanya.

Bagi merancakkan lagi aktiviti penjanaan dana bagi tabungan kebajikan ini, pihak endowmen juga akan mengusahakan projek Tanaman Nenas jenis MD2 seluas 50 ekar dalam kawasan kampus UTM Johor Bahru.

“Projek yang akan diusahakan secara pertanian kontrak ini diyakini akan dapat memberikan pulangan yang lumayan berdasarkan kepada jenis tanaman dan juga kaedah kontrak ini dijalankan.

Dalam projek ini, UTM selaku pemilik tanah akan menyewakan tanah pertanian kepada pihak kontraktor dan separuh daripada hasil sewaan ini dimasukkan ke dalam tabung endowmen manakala separuh lagi akan dilaburkan secara usaha-sama dengan kontraktor bagi faedah penambahbaikan projek dalam jangka masa panjang,” katanya.

Inisiatif terakhir penjanaan dana bagi tahun 2020 adalah penjualan nombor pendaftaran khas UTM sebanyak 10,000 unit.

“Penjualan nombor pendaftaran yang telah mendapat kelulusan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini diyakini dapat memberikan pulangan sehingga RM15 juta jika dijual pada harga rizab yang telah ditetapkan.

Penjanaan ini adalah penting kerana sumber dana Endowmen UTM bukan sahaja bersumberkan dari sumbangan orang ramai tetapi adalah merupakan hasil inisiatif penjanaan Unit Endowmen UTM melalui aktiviti yang berbentuk penjanaan dana,” katanya lagi.

Pemberian duit raya Endowmen UTM bagi sambutan Aidilfitri tahun 2019 kepada 100 orang mahasiswa UTM beragama Islam kategori B40.
Sumbangan bagi sambutan Krismas 2019 Endowmen UTM kepada 10 orang mahasiswa beragama kristian.
Sumbangan Deepavali Endowmen UTM 2019 kepada 10 orang mahasiswa kategori B40.
Makanan percuma melalui pengujudan Almari Kasih di hadapan Pejabat Hal Ehwal Pelajar di Bangunan Persatuan Mahasiswa (SUB). Almari ini akan ditambah di bawah inisiatif endowmen 2020.
Sumbangan makanan percuma Endowmen UTM 2019.

Explore More