November 19, 2024

Search
Close this search box.

355 staf dan pesara dirai dalam majlis Sanjungan Budi

JOHOR BAHRU, 6 Disember 2017 –  Seramai 355 orang kakitangan dan pesara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima anugerah sempena Majlis Sanjungan Budi 2017 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru.

Staf UTM beratur menunggu giliran untuk naik ke pentas menerima anugerah.

Pro-Canselor Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’adiah berkenan menyampaikan anugerah kepada 100 orang menerima Anugerah Jasa Bakti (20 tahun perkhidmatan), 113 Anugerah Jasa Setia (30 tahun perkhidmatan) dan 142 penerima Anugerah Jasa Abadi (dikhaskan bagi pesara).

Berucap semasa merasmikan majlis itu, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’adiah berkata faktor penjagaan kesihatan merupakan perkara utama yang perlu diberikan perhatian serius supaya golongan pesara dapat menikmati alam persaraan dengan lebih bermakna di samping insan tersayang.

Prof. Dr. Azlan menyampaikan cenderamata kepada Tan Sri Siti Sa’adiah.

Menurutnya, masalah kesihatan sering timbul pada usia yang telah lanjut sekiranya aspek penjagaan kesihatan dipandang ringan.

“Adalah penting bagi golongan pesara meluangkan sedikit masa dalam menjaga kesihatan masing-masing, bukan sahaja kesihatan fizikal, malah kesihatan mental juga.

“Berinteraksilah secara positif dan eratkan lagi hubungan silaturrahim dengan keluarga, rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Staf dan persara UTM diraikan dalam jamuan makan.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus.

Golongan pesara juga digesa supaya menerima alam persaraan dengan positif supaya masa ini dapat menjadi lebih seronok dan lebih berfaedah kepada diri setiap individu.

“Apa yang membezakan antara kita ialah bagaimana sikap kita menerima alam persaraan tersebut.

Jika kita berpandangan positif maka ia tidak akan menimbulkan masalah malah mungkiin lebih menyeronokkan dan lebih teruja dengan kelapangan masa yang kita ada dan boleh digunakan untuk diri sendiri dan juga keluarga,” katanya lagi.

Explore More