April 29, 2024

Search
Close this search box.

Artis muda meriahkan Karnival Entrepreneur UTM 2017

SKUDAI- Seramai enam artis dan selebriti terkemuka tempatan bakal memeriahkan Karnival Entrepreneur UTM 2017 (KENTRE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dijadual bermula 27 November hingga 4 Disember ini, di Dataran UTM.

Artis berkenaan ialah Irfan Haris, Hael Husaini, Khai Bahar, Ismail Izzani, Noh Salleh dan Kumpulan Floor 88.

Pengarah KENTRE, Muhammad Nur Imran Abdul Rashid berkata, karnival bertemakan ‘Keusahawanan & Jom Masuk Sekolah’ itu menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik bukan sahaja dari segi aktiviti yang melibatkan keusahawanan.

“Malah aktiviti sukan juga turut diketengahkan dalam salah satu aktiviti KENTRE sekaligus sesuai untuk seisi keluarga dan pelbagai lapisan umur.

“Terdapat lebih 150 gerai menjual pelbagai barangan termasuk makanan, pakaian, kelengkapan rumah, permainan dan perkhidmatan dibuka oleh pengusaha tempatan sepanjang karnival ini berlangsung,” katanya.

Beliau berkata, selain itu pameran korporat oleh penaja rasmi iaitu CIMB Bank, Super Evergreen Automobile dan Digi diadakan, disamping pameran produk Institut Pembangunan Bioproduk (IBD).

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan setiap hari, antaranya UTM ChefCast Competition 2017, Pencarian Takraw Victor 2017, Pertandingan Silat Seni dan Silat Tempur, Car Audio Show, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Raja Joran UTM 2017 dan Car Autoshow.

“Forum Perdana akan disampaikan oleh penceramah yang terdiri daripada beberapa penceramah terkemuka yang akan membincangkan tajuk ‘Keusahawanan & Kekayaan di Dunia dan Akhirat’ yang berlangsung pada 30 November”, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menganggarkan kedatangan 40,000 pengunjung ke karnival itu dengan kutipan hasil sebanyak RM 20,000 yang akan disalurkan semula bagi aktiviti kebajikan pelajar.

Sementara itu, Penyelaras Karnival Entrepreneur UTM 2017, Masnawi Miskam berkata, penganjuran karnival itu yang dikelolakan sepenuhnya oleh pelajar dapat mengasah bakat keusahawanan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

“Ini merupakan program berskala besar dan menjadi platform berkumpulan dalam kalangan mereka”, katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti Karnival Entrepreneur UTM 2017 boleh melayari laman Facebook “Karnival Entrepreneur UTM” atau Instagram dan Twitter dengan carian ‘kentreutm”.

Explore More