April 28, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar UTM Mendominasi Pertandingan Akhir Analisis Senario Habitat 2017 Peringkat IPTA

JOHOR BAHRU, 29 Oktober 2017 – Kumpulan Pelajar Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membolot kesemua hadiah dalam Pertandingan Akhir Analisis Senario Habitat 2017 Peringkat IPTA anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga.

Pertandingan Analisis Senario Habitat merupakan satu pertandingan yang bertujuan untuk melatih para peserta berfikir secara kreatif dan logik untuk mencari jalan penyelesaian kepada satu senario atau masalah habitat yang dikemukakan. Di samping itu, ia mampu meningkatkan kemahiran dalam mengenal pasti isu-isu semasa, menganalisis, dan menggalakan peserta membuat penyelidikan di lapangan. Peserta digalakkan mengumpulkan maklumat yang komprehensif bagi melaporkan dalam format `PowerPoint’ dengan tidak melebihi 20 slaid. Bagi kategori IPTA satu penulisan tambahan tidak melebihi 1,000 patah perkataan perlu dikemukakan kepada KPKT bersama slaid pembentangan untuk disenarai pendek bagi pertandingan akhir. Semasa pembentangan lisan untuk sesi pertandingan akhir, pelajar dibenarkan membuat penambahbaikan slaid pembentangan (format `PowerPoint’) serta menggunakan bahan persembahan sokongan, seperti model, poster, montaj, video serta ringkasan kajian.

Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu Sekolah Menengah Rendah (Tingkatan 1-3), Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 4-6) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Setiap kategori mempunyai analisis senario yang berbeza dengan mengenal pasti isu dan masalah semasa, metodologi dan analisis kajian serta cadangan penyelesaian dan outcome. Tema Analisis Senario bagi kategori Sekolah Menengah Rendah pada tahun ini ialah Penjanaan Pendapatan, Sekolah Menengah Atas ialah Pemberi Pinjam Wang, dan IPTA ialah Perumahan. Pada tahun ini lima kumpulan telah disenarai pendek bagi bertanding pada peringkat akhir untuk kesemua kategori. Bagi kategori IPTA, kelima-lima kumpulan yang disenarai pendek bagi pertandingan akhir adalah terdiri daripada perserta UTM, iaitu Kumpulan UTM1, UTM2, UTM3, UTM4 dan UTM5 yang diadakan di KPKT, Putrajaya pada 28 Oktober 2017.

Keputusan pertandingan akhir  telah dimenangi oleh Kumpulan Pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (UTM5), dan telah membawa pulang wang tunai sejumlah RM5,000 serta sijil penyertaan. Kumpulan ini dianggotai oleh Wan Muhammad Aqib bin Wan Mohamad Ashaary, Josephine Lee Siaw Ling dan Nagananteni a/p Subramanian. Manakala, tempat kedua dimenangi oleh kumpulan pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah  (UTM4), yang telah membawa pulang wang tunai sejumlah RM3,000 berserta sijil penyertaan. Kumpulan ini diangotai oleh Ellida binti Samsudin, Muhammad Zulfadhli bin Mohd Zin dan Mohd Jamsyeer Khan bin Jalaludin Khan. Tempat ketiga pula membawa pulang RM2,000 berserta sijil, dimenangi oleh kumpulan pelajar pascasiswazah Perancangan Bandar dan Wilayah (UTM3) yang terdiri daripada Muhamad Firdaus bin Johan dan Mohamad Azal Fikry bin Ali. Manakala  Prof. Madya TPr. Dr. Hamid bin Saad, Dr. Siti Hajar binti Misnan dan Puan Noordini binti Che` Man bertindak selaku pensyarah pembimbing/pengiring.

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan di Dewan Kristal, Aras B1, KPKT sejurus pertandingan akhir selesai. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Dr. Ani binti Ahmad, Pengarah Bahagian Dasar dan Strategik, Jabatan Kerajaan Tempatan, KPKT. Kemenangan tempat pertama, kedua, ketiga serta kelayakan dua kumpulan lagi ke pertandingan akhir membuktikan kualiti pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah di UTM berada pada tahap yang terbaik, komprehensif, dan mampu bersaing dengan IPTA lain di negara ini.

Explore More