JOHOR BAHRU, 28 Oktober 2017 – Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah mengingatkan graduan kebolehpasaran mereka masa kini tidak hanya bergantung kepada segulung ijazah, sebaliknya perilaku yang mulia serta kemampuan untuk menjalankan kepelbagaian tugas menjadi pilihan utama majikan.
Baginda bertitah, majikan hari ini menjadi bijak dan lebih selektif dalam memilih pekerja yang berkualiti serta mampu menyumbang kepada kemajuan organisasi yang dikhidmati.
Justeru baginda mengingatkan setiap graduan harus bersedia dalam menempuhi alam pekerjaan dan tidak memilih peluang pekerjaan.
Di samping itu, baginda juga melahirkan harapan terhadap UTM sebagai sebuah pusat pendidikan dan penyelidikan bertaraf antarabangsa supaya dapat memainkan peranan dalam membantu menangani masalah sosial.
“Saya ingin mencadangkan agar para mahasiswa UTM dapat menjalankan aktiviti-akviti berfaedah bersama murid-murid sekolah menengah dan membantu mereka daripada terjerumus ke kancah penyalah gunaan dadah.
Baginda bertitah pada Majlis Konvokesyen UTM ke-59 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru hari ini. Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Abdul Halim Ali dan juga Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.
DYMM Raja Zarith Sofiah turut mengingatkan kepada sekalian hadirin supaya mengutarakan sebarang pendapat mengenai isu semasa secara berlapik dan lebih terhormat.
Menurut baginda, rakyat Malaysia seharusnya memiliki nilai-nilai murni seperti sifat sopan dan hormat seperti yang termaktub dalam prinsip Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.
“Rukun Negara seharusnya dijadikan panduan di setiap peringkat lapisan masyarakat dan kita sebagai rakyat Malaysia wajib memahami serta menghormati kandungan Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda lagi.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 5,402 orang graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.
Seramai 399 orang adalah penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), (906) Ijazah Sarjana, (2,505) Ijazah Sarjana Muda, (558) Diploma dan 1,039 Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dari Program Kerjasama UTMSPACE.
Daripada jumlah tersebut, seramai 325 orang adalah graduan antarabangsa dan berasal dari 30 buah negara seluruh dunia.
Majlis konvokesyen kali ini juga menyaksikan Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir dilantik sebagai Pro-Canselor yang baru bagi menggantikan Tan Sri Dato’ Dr. Yahya Tun Dato’ Dr. Hj. Awang yang tamat tempoh perkhidmatan.
Sementara itu, Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Pengurusan.
Manakala, mantan tenaga ahli akademik UTM, Prof. Dr. Ahmad Kamal Idris dan juga Prof. Dr. Shamsudin Hj Mohd Amin juga telah dikurniakan dengan gelaran Profesor Emeritus, suatu anugerah pengiktirafan Akademik tertinggi yang diberikan oleh universiti kepada tokoh yang telah banyak menyumbang bakti dalam bidang kelimuannya.