JOHOR BAHRU, 15 Oktober 2017 – Penganjuran Festival Konvokesyen ke- 59 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atau Fesko UTM ke-59, Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUTM) setakat ini telah berjaya mengumpul penajaan sebanyak RM 30,000.00.
Antara penyumbang utama adalah syarikat pengendali portal tempahan hotel dan penerbangan Traveloka, rangkaian pengedar buku MPH Bookstores Sdn. Bhd, pembuat pakaian ternama jenama Hype dan syarikat sewaan kenderaan, My Car Rental.
Pengarah FESKO UTM ke- 59, Muhamad Ikhmal Borhan berkata selaku penganjur, pihaknya diberikan misi khas oleh universiti untuk melaksanakan acara ini tanpa diberikan sebarang peruntukan seperti tahun-tahun sebelum ini dalam usaha melatih mahasiswa untuk memupuk budaya keusahawanan.
“Bagi menjayakan FESKO kali ini, jawatankuasa penganjur telah memulakan gerak kerja sejak cuti semester yang lalu.
“Sepanjang tempoh itu, kami telah menghubungi hampir 300 buah syarikat yang beroperasi di sekitar Johor dan Selangor dan menghantar wakil menemui syarikat yang berminat untuk menerangkan mengenai konsep penajaan dan faedah yang akan mereka perolehi, “ katanya.
Muhamad Ikhmal yang juga Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUTM) bagi sesi 2017/18 berkata, Fesko UTM ke-59 bertema Kelestarian, Seni dan Teknologi sebagai menyokong usaha UTM menjadi Universiti Awam (UA) yang lestari, mengetengahkan kesenian dan kebudayaan tempatan dan antarabangsa oleh mahasiswa UTM dan mempromosi produk penyelidikan yang dihasilkan oleh penyelidik UTM dan agensi luar.
Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis melarang penyewa gerai makanan supaya tidak menggunakan polisterin sebagai pembungkus makanan.
“Bagi menyokong usaha ke arah kampus lestari kami akan mengedar sebanyak 7,000 beg plastik mudah urai yang ditaja oleh syarikat J-Biotech kepada para peniaga,” katanya.