April 29, 2024

Search
Close this search box.

Makmal Aeronautik UTM uji ketahanan jubin bumbung keluaran Terreal

JOHOR BAHRU, 12 Oktober 2017 – Satu sesi ujian angin berskala tinggi telah dijalankan oleh Makmal Aeronautik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terhadap jubin bumbung keluaran syarikat Terreal Malaysia Sdn. Bhd.

Kakitangan Terreal Malaysia Sdn. Bhd memberi penerangan mengenai produk yang dihasilkan kepada pengunjung.

Pengujian berkenaan dilakukan sebagai sebahagian dari demonstrasi untuk menunjukkan bahawa jubin keluaran syarikat itu mampu untuk menjamin keselamatan penghuni rumah yang menggunakan produk jubin syarikat itu dari bahaya ribut.

Pelbagai jenis jubin dikeluarkan oleh Terreal Malaysia Sdn. Bhd dipamerkan di Dewan Bankuet.

Pengarah Makmal Aeronautik UTM, Prof. Ir. Dr. Wan Khairuddin Wan Ali berkata, pengujian telah dilaksanakan di dalam terowong angin UTM untuk mengkaji kesan pembebanan angin terhadap pemasangan bumbung keluaran syarikat itu.

Prof. Wan Khairuddin memberikan penerangan mengenai ujian angin pada jubin bumbung di seminar anjuran UTM-Terreal di Dewan Jamuan, UTM Johor Bahru.

“Dalam ujian piawaian yang dijalankan, jubin dipasang mengikut spekfikasi sebenar dan didedahkan kepada aliran angin.

“Data tekanan angin pada permukaan jubin diukur dan kekuatan dalam memberikan rintangan kepada angin ditentukan,” katanya.

Selain daripada ujian ke atas jubin, UTM juga menawarkan khidmat ujian ke atas bumbung jenis logam kepingan mengikut piawaian yang diterima pakai di Amerika, Eropah, Australia dan kebanyakan negara lain bagi menentukan kekuatan kemasan bumbung sedemikian di bawah beban tekanan angin.

Kerjasama antara kedua pihak telah terjalin sejak dua tahun lalu dan perancangan kerjasama untuk masa akan datang sedang diatur untuk mengetengahkan garis panduan iindustri bagi pengujian jubin dan kemasan bumbung di negara ini.

Kedua belah pihak juga akan memetrai memorandum persefahaman dalam masa terdekat bagi mengukuhkan lagi kerjasama dua hala itu.

Sementara itu Pengurus Perindustrian Terreal Malaysia Sdn. Bhd, Franc Molto berkata, pihaknya bercadang untuk menggunakan fasiliti pengujian di Makmal Aeronautik bagi menguji beberapa produk terbaru syarikat berkenaan.

“Dengan kejayaan sesi ujian ini, Terreal juga bercadang untuk bekerjasama dengan UTM dalam beberapa aspek pengujian teknikal yang lain bagi menilai kualiti produk keluaran syarikat kami,” katanya.

Satu seminar anjuran kedua belah pihak juga telah berlangsung di Dewan Jamuan pada tarikh yang sama bagi meningkatkan kesedaran tentang aspek-aspek berkaitan ujian produk jubin bumbung mengikut piawaian dan prosedur pemasangan yang betul.

Explore More