November 27, 2024

Search
Close this search box.

Penubuhan I’MRC oleh UTM dan ITS jadi agenda utama perbincangan antara Menteri Pendidikan Malaysia dan Indonesia

JOHOR BAHRU, 3 Oktober 2017 – Konsortium Penyelidikan Indonesia-Malaysia (I’MRC) menjadi antara agenda utama yang dibincangkan dalam lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia Dato’ Seri Idris Jusoh ke Indonesia yang bermula semalam.

(Dari kiri),  Rektor Instititut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) dan koordinator I’MRC untuk Indonesia, Prof. Dr. Joni Hermana, Menteri Penyelidikan, Teknologi dan Pendidikan Tinggi, Indonesia, Prof. Dr. M.Nasir bersama Naib Canselor UTM,  Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar dan koordinator I’MRC untuk Malaysia, Prof Dr Hadi Nur (UTM).

Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, I’MRC adalah selaras dengan hasrat kedua negara untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan membabitkan rangkaian universiti dan institusi penyelidikan di Malaysia dan Indonesia.

Delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang diketuai oleh Dato’ Seri Idris Jusof sebelum perjumpaaan dengan Menteri Penyelidikan, Teknologi dan Pendidikan Tinggi, Indonesia, Prof Dr M Nasir di Jakarta.

Di samping itu, I’MRC bertujuan memupuk inovasi menerusi pengajaran dan pembelajaran yang diinspirasikan melalui kerjasama penyelidikan, mobiliti pelajar, menghubungkan pelajar dan kakitangan serta kerjasama yang lebih luas untuk pengantarabangsaan.

“Penubuhan I’MRC dimaklumkan oleh Dato’ Seri Idris kepada rakan sejawatnya dalam mesyuarat antara delegasi Malaysia dan Indonesia dan UTM akan memainkan peranan penting bersama Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) sebagai pemimpin bagi menjayakannya.

“Inisiatif untuk mengadakan kerjasama penyelidikan antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia dimulakan sejak tahun 2014 semasa UTM diterajui oleh Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang dan rakan sejawatnya dari ITS, Profesor Dr Joni Hermana,” katanya.

Naib Canselor kini berada di Jakarta menyertai delegasi Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia Dato’ Seri Idris Jusoh untuk bertemu dengan rakan sejawatnya Menteri Penyelidikan, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia Muhammad Nasir bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam lawatan kerja selama dua hari itu.

Sementara itu, Muhammad Nasir mengalu-alukan kedatangan Dato’ Seri Idris dan delegasinya ke Indonesia bagi mengembangkan HESTI untuk manafaat kedua negara.

Beliau berkata, sejak penubuhan MoRTHE pada bulan Oktober 2014, terdapat banyak program yang telah dilaksanakan, seperti biasiswa, penyelidikan dan pembangunan bersama, dan program Kuliah Kerja Nyata (KKN Kebangsaan) yang dapat bekerjasama antara dua negara.

 

Selain itu, Muhammad Nasir berkata, dalam tempoh tiga tahun kepimpinannya, beliau telah berusaha untuk mempromosikan lebih banyak pengkomersialan penyelidikan kerana penemuan tidak boleh dinamakan oleh inovasi, jika ia tidak dapat dilaksanakan kepada masyarakat dan industri.

 

Beliau berkata, kerajaan Indonesia telah menetapkan agenda penyelidikan nasional di Indonesia, 2017 – 2045 yang memberi keutamaan kepada 10 bidang iaitu makanan dan pertanian, kesihatan dan perubatan, teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga boleh diperbaharui dan alternatif, pengangkutan, teknologi pertahanan, teknologi canggih (termasuk nanoteknologi), maritim, pengurusan bencana, sosial dan kemanusiaan.

Manakala Dato’ Seri Idris Jusoh pula menyatakan kegembiraannya untuk berkongsi perkembangan terkini dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, bahawa Malaysia juga mengambil berat mengenai kerjasama dengan Indonesia dan menyedari bahawa mewujudkan kerjasama adalah lebih penting berbanding bersaing sesama sendiri.

Menurutnya, Indonesia dan Malaysia telah bekerjasama sejak berdekad-dekad lamanya dan dengan mewujudkan kerjasama kedua negara akan menjadi lebih produktif dalam melaksanakan program pendidikan tinggi, penyelidikan bersama bersama dan lain-lain program kepentingan bersama.

 

Explore More