November 27, 2024

Search
Close this search box.

UTM-CUCMS bakal tubuh MEDITEC

JOHOR BAHRU, 6 September 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Cyberjaya University Collage of Medical Sciences (CUCMS) menandatangani memorandum persefahaman bagi membolehkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Bersama CUCMS-UTM Medical Device Innovation & Technology Centre (MEDITEC).

Prof. Wahid (dua kiri) bertukar dokumen dengan Dr. Mohammad sambil diperhatikan oleh Dekan FBME Prof. Dato’ Ir Dr Mohammed Rafiq Dato’ Abdul Kadir.

Pejanjian persefahaman itu ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Presiden CUCMS, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak di di Blok V01, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME).

Prof. Wahid berkata, jalinan kerjasama dengan CUCMS adalah amat wajar memandangkan institusi itu merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang perubatan.

“Disebabkan ketiadaan pusat kajian mengenai peranti perubatan di Malaysia, kerjasama ini adalah perlu bagi merealisasikan konsep ‘National Blue Ocean Strategic’ atau NBOS selaras dengan saranan kerajaan.

“Secara tidak langsung, kerjasama ini diharap dapat menjayakan hasrat UTM dalam menjadi universiti penyelidikan terulung dan bertaraf antarabangsa seterusnya meningkatkan prestasi universiti-universiti di Malaysia secara umumnya,” katanya.

Menurutnya, UTM mula aktif menjalankan penyelidikan dalam bidang peranti perubatan sejak tahun 2006 dengan penubuhan kumpulan penyelidikan Medical Devices &  Technology Group atau MEDITEG.

“Rekod pencapaian MEDITEG adalah sangat membanggakan dengan jumlah geran penyelidikan melebihi RM15 juta di samping berjaya menghasilkan 300 kertas penyelidikan yang berjaya diterbitkan di peringkat antarabangsa.

“MEDITEG juga berjaya memperolehi lebih 40 anugerah penyelidikan dan mempatenkan sebanyak 35 harta intelektual,” katanya.

Sementara itu, Prof. Mohamad berkata, CUCMS telah merizabkan satu aras di bangunan baru kampus Cyberjaya untuk menempatkan pusat kecemerlangan berkenaan yang menempatkan projek kerjasama peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD.

 

Explore More