Disember 19, 2024

UTM & NAHRIM Jalin Kerjasama Penyelidikan Hidraulik dan Hidrologi

Kuala Lumpur, 7 Ogos 2017 – Institut Pengajian Tinggi di Malaysia perlu meningkatkan usaha melaksanakan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan komuniti setempat dan juga kepada negara.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM)  pada 7 Ogos 2017 di UTM Kuala Lumpur adalah manifestasi hasrat tersebut dengan tujuan untuk sama-sama bekerjasama bagi kemakmuran negara khususnya dalam bidang kejuruteraan air.

UTM khususnya Jabatan Hidraulik dan Hidrologi, Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) menjalankan penyelidikan dan juga khidmat perundingan dalam bidang hidraulik dan hidrologi yang meliputi analisis kesan iklim kepada taburan hujan, air bumi, sungai dan pencemaran, permodelan air sungai, banjir dan empangan, pengurusan sumber air, kesan perubahan guna tanah kepada air larian permukaan dan sedimentasi, hakisan, kejuruteraan pantai dan lepas pantai dan lain-lain.

Bidang-bidang tersebut adalah selaras dengan misi NAHRIM untuk memberi perkhidmatan cemerlang sebagai pusat pakar rujuk kebangsaan dalam bidang air dan persekitarannya untuk memastikan pembangunan negara yang mampan demi kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup rakyat.

MoU telah ditandatangi oleh Naib Canselor UTM iaitu Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar bersama dengan Ketua Pengarah Nahrim iaitu Datuk Ir. Dr. Azuhan Mohamed di hadapan Dekan FKA UTM dan Timbalan Ketua Pengarah NAHRIM.

MoU ini hasil daripada kunjungan NAHRIM ke FKA, Skudai dan juga kunjungan balas FKA ke NAHRIM, Seri Kembangan yang melibatkan lawatan ke makmal-makmal dan perbincangan bersama dalam bidang kejuruteraan air.

Antara aktiviti yang dicadangkan hasil MoU ini adalah penggunaan fasiliti bersama, kolaborasi penyelidikan melibatkan perkongsian data termasuk data batimetri, ombak, laut, GIS, penggunaan tanah dan sebagainya, melaksana kerja lapangan dan menganalisis data, perundingan dan khidmat nasihat, penganjuran seminar/bengkel yang melibatkan UTM memberikan latihan modul kepada kakitangan NAHRIM, penyeliaan praktikum, latihan industri dan penulisan dan penerbitan.

Hubungan kerjasama antara UTM dan NAHRIM telah lama terjalin melibatkan penyelidik dan pensyarah yang melaksanakan kajian bersama berkaitan penuaian air hujan (rainwater harvesting), kesan perubahan iklim kepada tanaman padi, kelapa sawit dan getah, status kualiti air tasik, pembangunan pengurusan tasik di Sembrong dan Batang Ai dan lain-lain aktiviti.

MoU ini akan merangsangkan ikatan kerjasama yang lebih kukuh sesama agensi kerajaan dalam berinteraksi, perkongsian maklumat dan tenaga kepakaran untuk memberikan perkhidmatan terbaik terutamanya dalam bidang penyelidikan yang melibatkan permasalahan negara.

Explore More