Sabak Bernam, 14 Julai 2017. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah menerima jemputan dari Ericsson Malaysia Sdn. Bhd. bagi menjayakan program libatsama komuniti UTM & Ericsson Connected Mangrove. Program seumpama ini menunjukkan UTM komited dalam memastikan hubungan libatsama komuniti dan jaringan industri termaktub dalam dasar dan kerja projek. Dalam usaha gigih meningkatkan penglibatan komuniti universiti dan industri, pada masa yang sama kita juga mampu menjalinkan hubungan serta terus meneroka dan memanfaatkan keupayaan dan kepakaran masing-masing.
UTM yang diketuai oleh Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman, Pengarah Pusat Komunikasi Tanpa Wayar (WCC) berkata, projek yang pertama seumpama ini di dunia menggabungkan teknologi objek rangkaian Internet of Things (IOT), ianya termasuk jalur lebar mudah alih untuk membantu komuniti tempatan menguruskan pertumbuhan pokok bakau baru. Penggunaan sensor IOT ini dapat membantu memantau maklumat masa nyata mengenai keadaan tanah dan cuaca, kebakaran serta paras air di kawasan projek. Seterusnya, data yang diperolehi boleh digunapakai di tempat lain bagi memudahkan proses pemuliharaan hutan bakau di Malaysia.
Turut hadir ke program ini adalah Encik Todd Ashton, Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh dan Encik R. Nagarajan, penyelaras Program Hutan dan Pantai, Global Environment Centre (GEC). Seramai 70 mahasiswa UTM, 10 kakitangan UTM dan 25 kakitangan Ericsson serta penduduk Kampong Datuk Hormat telah bergotong-royong serta berganding bahu menanam pokok bakau dan membersihkan kawasan paya semasa program berlangsung.