April 30, 2024

Search
Close this search box.

SMK Tun Mamat juara NSC 2017 Johor

JOHOR BAHRU, 12 Julai 2017 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat, Tangkak muncul juara pertandingan National Science Challenge (NSC) Johor 2017 yang berlangsung di Dewan Senat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Pasukan SMK Tun Mamat bersama Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman majlis penutup NSC 2017 di Dewan Senat, UTM Johor Bahru.

Tempat kedua Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi, ketiga SMK Sri Tebrau manakala SM Sains Batu Pahat dan SM Sains Johor masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.

UTM telah dilantik sebagai penganjur bersama pertandingan itu bersama dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) dan ExxonMobil, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengarah NSC Negeri Johor, Prof. Madya Dr. Mimi Haryani Hassim berkata, program itu adalah pertandingan sains berbentuk kuiz yang terbuka kepada pelajar tingkatan empat seluruh Malaysia.

“Ia dianjurkan bagi meningkatkan minat pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

“Pemenang NSC Johor 2017 akan mewakili negeri ini ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada 11 hingga 17 Ogos 2017 di UKM,” katanya.

Pemenang NSC peringkat kebangsaan pula akan menerima hadiah lawatan ke Stockholm, Sweden bagi menghadiri upacara penyampaian Hadiah Nobel.

Hadiah kepada pemenang NSC Negeri Johor telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman.

Turut hadir pada majlis penutup adalah Hj. Kamarudin Mohamad Tahir, Ketua Unit Kokurikulum JPNJ.

Explore More