April 29, 2024

Search
Close this search box.

Citra Karisma 2017: FKT menang Anugerah Inovasi Naib Canselor

JOHOR BAHRU, 16 Mei 2017 – Fakulti Kejuruteraaan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) membawa pulang hadiah wang tunai RM10 ribu apabila  diumumkan sebagai pemenang Anugerah Inovasi Naib Canselor di Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan UTM 2017 ( Citra Karisma 2017).

Fakulti Kejuruteraaan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga pemenang Anugerah Inovasi Naib Canselor.

FKT turut mengungguli Anugerah Kualiti Akademik yang menawarkan hadiah wang tunai RM8,000 yang disampaikan oleh Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir kepada Dekan, Prof. Dr. Mohd. Ghazali Mohd. Nawawi di Dewan Sultan iskandar (DSI).

Anugerah Inovasi Naib Canselor diperolehi menerusi penghasilan sistem Integrated Academic Advisory System (IAAS) yang dibangunkan untuk menjadikan urusan penasihatan dan penyeliaan akademik pelajar lebih cekap dan teratur.

Sistem itu diintegrasikan dengan Sistem Laporan Penilaian Kursus yang membolehkan penasihat akademik menilai pencapaian pelajar dengan lebih terperinci.

Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Penerbitan.
Pustakawan Dr Kamariah Nor Mohd Desa menerima Anugerah Pentadbir.
Profesor Dato’ Dr Halimaton Hamdan Tokoh Akademik.
Fakulti Kejuruteraan Awam menerima anugerah Webometrics Kategori Bukan Akademik.

Laporan mengenai kegiatan akademik dan ko-kurikulum pelajar sepanjang pengajian juga boleh dimuatnaik dengan terperinci dan membolehkan mata nilaian diberikan mengikut tahap keterlibatan pelajar berkenaan.

Sistem itu membolehkan pihak fakulti mengenalpasti butiran pencapaian akademik dan ko-kurikulum bagi setiap mahasiswa dan membolehkan anugerah diberikan di akhir pengajian.

Transkrip aktiviti juga boleh dicetak dan diberikan kepada mahasiswa di akhir pengajian seperti mana yang diamalkan di beberapa universiti luar negara seperti Texas State University dan Purdue University, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pejabat Pendaftar memenangi Anugerah Kualiti Perkhidmatan dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000.

Manakala Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Penerbitan, Pustakawan Dr Kamariah Nor Mohd Desa Anugerah Pentadbir, Profesor Dato’ Ir Dr Mohammed Rafiq Abdul Kadir Tokoh Penyelidikan dan Profesor Dato’ Dr Halimaton Hamdan Tokoh Akademik. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) memenangi kategori Pusat Kecemerlangan.

Selain anugerah utama itu, Citra Karisma 2017 juga turut menyediakan beberapa anugerah lain iaitu Khidmat Masyarakat, Keterlibatan Industri, Sukan, Seni dan Kreativiti, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Penasihat Akademik, Perundingan, Pengajaran, Penyelidikan dan Inovasi & Pengkomersilan Produk.

Yang turut hadir adalah Naib Canselor, Datuk Prof. Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abd. Manan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni), Prof. Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz.

Majlis Citra Karisma telah diperkenalkan pada tahun 2010 bagi mempelbagaikan anugerah pengiktirafan atas kecemerlangan staf UTM berbanding sebelum ini yang hanya memberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Pejabat Pendaftar menerima Anugerah Kualiti Perkhidmatan.
Pejabat Bendahari menerima Anugerah Webometrics Kategori Bukan Akademik.

Explore More