JOHOR BAHRU, 15 Mei 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya membangunkan sistem Advanced Dialysis Nephrology Application Network (ADNAN) yang mampu mencapai rekod pesakit buah pinggang berbanding sistem rekod konvensional yang digunakan kini.
Aplikasi yang dicipta pada awal tahun 2013 itu hasil kepakaran bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan UTM diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Yazid Idris dari Fakulti Komputeran UTM dan Ketua Unit Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Prof. Madya Dr. Azreen Syazril Adnan.
Ketua Penyelidik ADNAN, Prof. Madya Dr. Mohd Yazid Idris berkata sistem itu direka bagi menyimpan data mengenai prosedur rawatan perkhidmatan hemodialisis bermula dari proses pendaftaran pesakit, jadual rawatan, maklumat penyakit dan ubatan, rekod dialisis, laporan dan lain kefungsian yang berkaitan.
“Sistem ini akan merekodkan segala aktiviti pemantauan pakar nefro secara berterusan bagi mengelakkan sebarang komplikasi berbanding dengan kaedah manual yang memerlukan semakan fail di pusat rawatan semasa lawatan rutin.
“sistem ini dapat mengelakkan rekod pesakit hilang akibat bencana alam seperti banjir yang boleh memberikan banyak masalah kepada pihak hospital apabila pesakit dari seluruh Kelantan ditempatkan secara sementara di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya.
Bagi mengatasi masalah itu, gelang tangan berwarna ungu telah diedarkan kepada seribu pesakit di seluruh Kelantan. Gelang itu mengandungi cip memori yang boleh menyimpan data maklumat rawatan yang telah diterima oleh pesakit.
“Apabila pesakit dipindahkan ke Disaster Dialysis Relief Centre (DDRC) yang merupakan pusat rawatan sementara semasa banjir, petugas perubatan hanya perlu sentuhkan gelang tangan ini ke Kotak Storan Maklumat ADNAN dan sistem akan memaparkan segala maklumat rawatan pesakit,” katanya.
Sebanyak 26 buah hospital dan pusat rawatan homodialisis di Kelantan terlibat dalam projek yang dibangunkan khas melalui Geran Bencana yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sistem itu dilengkapi dengan teknologi ViTaL yang membenarkan staf perubatan melaksanakan kerja secara atas talian mahupun juga luar talian semasa ketiadaan capaian internet.