12 MEI 2017 | KUALA LUMPUR – UTM dan TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES) sebuah anak syarikat milik Tenaga Nasional Berhad hari ini menandatangani satu perjanjian memorandum persefahaman bagi kerjasama khusus dalam bidang Kecekapan Tenaga (EE) dan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE).
Persefahaman ini dimeterai sebagai kolaborasi untuk memberi manfaat kepada UTM dalam mengoptimumkan kos tenaga elektrik dan menjana tenaga elektrik sendiri. Antara potensi projek yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan, dinilai dan ditawarkan adalah :
- Program Kecekapan Tenaga (EE) melalui Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) yang melibatkan LED lighting retrofit and air conditioning di Enam buah bangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) iaitu bangunan Pusat Pengajian Islam, Fakulti Geoinformasi dan Hartanah, Fakulti Pengurusan, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik.
- Pemasangan sistem tenaga boleh diperbaharui dan unit penghawa dingin cekap tenaga untuk Masjid Sultan Ismail UTM.
- Pembangunan dan pemasangan Sistem Penjanaan Kuasa Mini Hidro ‘Off-Grid” di Empangan Jernih dan / atau Tasik Ilmu di UTM untuk tujuan pendidikan.
- Pelaksanaan sistem Building Integrated Photoboltaic (BIPV) menggunakan Skim Net Tenaga Permeteran (NEM) di bangunan-bangunan Pusat Makmal Penyelidikan Universiti-Industri dan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).
- Kerjasama pendidikan dan penyelidikan dalam membangunkan kampus UTM Johor Bahru sebagai makmal hidup (Living Lab) dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Memorandum persefahaman ini ditandatangani oleh Professor Dr. Azlan bin Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM dan Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd Hamid, Pengarah Urusan TNBES. Manakala saksi majlis disertai oleh YBhg Datuk Wira Roslan Abd Rahman, Ketua Pegawai Korporat TNB yang juga mewakili, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB dan ahli-ahli Lembaga Pengarah TNBES, manakala dari UTM diwakili oleh Profesor Dr Abdul Latif Saleh, Pengarah Kerja UTM, Profesor Dr. Sevia. Mahdaliza Idrus Sutan Nameh dan Profesor Dr. Mohammad Yusri Hassan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM. Majlis turut dihadiri oleh Pengurusan dari UTM dan TNBES.
Memorandum persefahaman ini berkuatkuasa untuk tempoh lima (5) tahun. Ia menjadi pemangkin bagi kemajuan dan aktiviti penyelidikan berkaitan tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga elektrik di UTM. Sekaligus ia menjadikan kampus UTM sebagai makmal hidup (Living Lab) melalui program aktiviti penyelidikan termaju untuk menghasilkan lebih ramai penyelidik dan tenaga pakar tempatan.
Selaras dengan program inisiatif pertumbuhan universiti tempatan, kerjasama ini membuktikan keyakinan universiti terhadap kepakaran dan kemampuan TNBES khasnya dan TNB amnya. Ia diharapkan akan memberi impak positif yang secara tidak langsung dapat membantu memberi panduan kepada universiti lain sebagai satu langkah kerjasama universiti-industri dalam melestarikan industri tenaga hijau untuk kehidupan yang lebih baik bagi generasi masa depan.