April 29, 2024

Search
Close this search box.

KELAB PEMADAM UTM TERIMA ANUGERAH EMAS KELAB PEMADAM IPT 2017

Bersempena Konvensyen Kepimpinan Kelab PEMADAM IPT Kali Kedua pada 5 hingga 8 April yang lalu, Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru telah dianugerahi Anugerah Emas Kelab Pemadam IPT 2017 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sungai Besi.

Dari kiri: Nur Aziha (setiausaha), En. Mohd Zolkifly (Penasihat), Nik Nur Fathihah (Presiden), Nurul Waidza (T.Setiausaha).

Anugerah ini diberikan berdasarkan kepada pengurusan kelab yang efektif dan cekap, penglibatan dalam program khidmat komuniti dan kepimpinan mahasiswa, jumlah keahlian kelab, serta sumbangan Penasihat dalam program dan aktiviti Biro Pendidikan Pencegahan Dadah PEMADAM Kebangsaan.

 

Kelab PEMADAM UTM diwakili oleh Nik Nur Fathihah selaku Presiden Kelab PEMADAM UTM dan Encik Mohd Zolkifly selaku Penasihat Kelab PEMADAM UTM untuk menerima anugerah tersebut.

 

Dalam konvensyen ini, UTM mencatatkan bilangan penyertaan mahasiswa yang paling ramai iaitu 23 orang diketuai Saudari Nik Nur Fathihah Bt Mohd Ridzewan, Presiden Kelab PEMADAM UTM dan En. Mohd Zolkifly bin Shaari selaku Penasihat kelab dan pegawai pengiring. Menerusi kejayaan ini, diharap Kelab PEMADAM UTM dapat meningkatkan lagi usaha untuk memperluaskan lagi peranan dalam membanteras masalah dadah di samping memberi kesedaran kepada mahasiswa dan komuniti luar tentang bahayanya dadah.

 

Konvensyen yang bertemakan “Mahasiswa Hidup Penuh Erti” ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Nur Jazlan bin Mohamed, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan.

 

Konvensyen ini merupakan anjuran bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Biro Pendidikan Pencegahan Dadah di IPT & Kelab PEMADAM Kebangsaan, PEMADAM Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan dan melibatkan penyertaan seramai 500 orang mahasiswa daripada 25 buah universiti awam dan swasta.

 

Konvensyen Kepimpinan Kelab PEMADAM IPT Kali Kedua ini diadakan bertujuan mengumpul semua  Presiden Kelab PEMADAM IPT serta ahli kelab berbincang, bertukar-tukar fikiran dan berbengkel tentang cara mahasiswa boleh membantu universiti, masyarakat kampus dan negara dalam menangani masalah najis dadah ini.

 

Program ini juga ibarat serampang dua mata ekoran program yang dilakukan melibatkan nilai kepimpinan yang tinggi melalui penekanan slot-slot yang diberikan selain mengujudkan rangkaian yang lebih efektif melalui program-program antara kampus. Pelbagai aktiviti menarik dijalankan seperti Program Mahasiswa @ Sekolah Hidup Penuh Erti, Bengkel Kepimpinan, Slot 60 minit bersama Ally Iskandar, forum santai, Ceramah oleh YBhg Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, PDRM, PEMADAM Kebangsaan, Kebudayaan dan Program Jalan 1000  langkah.

Program Jalan 1000 langkah….diketuai YBhg Prof Datuk Dr. Mohd Tajudin Ninggal, Pengerusi Biro Pendidikan Pencegahan Dadah di IPT dan Kelab PEMADAM Kebangsaan bersama Penasihat dan mahasiswa seluruh IPT.

Explore More