April 29, 2024

Search
Close this search box.

22 staf Bahagian Keselamatan UTM tamat kursus APMS

JOHOR BAHRU, 11 April 2017 – Seramai 22 orang staf Bahagian Keselamatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Kor Polis Tentera Di Raja (KPTD) selama sebulan.

Staf Bahagian Keselamatan UTM bersama Pengarah Keselamatan Abd Rahim Abd Karim (tengah kanan) dan Mohd Faizail di majlis tamat latihan.

Kursus yang disertai oleh 35 peserta itu berlangsung pada 6 Mac hingga 4 April 2017 di Kem 2, Rejimen Kor Polis Tentera Di Raja Sg Ara, Pulau Pinang.

Penuntut Terbaik (dari kiri) Ridwan, Nur Hidayah, Nur Husniyah dan Muhammad Firdaus.

Pegawai Keselamatan Kanan, Mohd Faizal Abd Latib berkata, penyertaan anggota Bahagian Keselamatan UTM dalam Askar Wataniah Kor Polis Tentera adalah seiring dengan Pelan Transformasi Strategik Bahagian Keselamatan 2016-2020.

Menurutnya, langkah berkenaan bagi melahirkan staf yang mempunyai kesiapsiagaan tinggi berasaskan kekuatan fizikal dan mental dalam mendepani pelbagai cabaran semasa.

“Sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang mempunyai ramai pelajar dari pelbagai negara kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai situasi seperti ancaman terrorisme yang didalangi oleh Militan DAEISH.

“Pemilihan KPTD merupakan satu langkah yang tepat disebabkan kursus dan latihan yang disediakan adalah sangat signifikan dengan tugas semasa seperti kawalan keselamatan, rondaan serta risikan dan penyiasatan,” katanya.

Beliau berkata, staf Bahagian Keselamatan UTM yang telah tamat latihan perlu menghdiri latihan lain secara mingguan, latihan berterusan dan khemah tahunan selama dua minggu setiap tahun.

Di majlis tamat latihan tiga staf Bahagian Keselamatan UTM, Nurhidayah Mohamed dinobatkan sebagai Penuntut Kawad Terbaik, Ridwan Somiran Penuntut Penembak Terbaik dan Mohammad Firdaus Wahyudin Penuntut Terbaik Keseluruhan.

Manakala Penuntut Akademik Terbaik disandang oleh Nur Husniyah Hussin Perajurit Muda 13 KPTD (Askar Wataniah), Sungai Buloh.

Mereka menerima anugerah yang disampaikan oleh Pengarah Kor Polis Tentera Di Raja Kol. Hj Kamarudin Hj Mustapha semasa Upacara Tamat Latihan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela pada 3 April 2017 di Padang Kawad 2 Rejimen KPTD, Kem Sg Ara, Pulau  Pinang.

Mohd Faizal berkata, UTM merupakan Universiti Awam (UA) pertama diberikan kepercayaan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Kor PTDR bagi menjalani latihan dan kursus di bawah kendalian pihak ATM sepenuhnya.

“Sebelum ini Kerjasama ATM dan UA adalah melalui penyertaan mahasiswa dan staf dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang melibatkan tiga perkhidmatan iaitu PALAPES Darat, Laut dan Udara,” katanya.

Explore More