November 28, 2024

Search
Close this search box.

100 mahasiswa UTM hadiri program Budaya Jepun

 JOHOR BAHRU, 9 Mac 2017 –  Seramai 100 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghadiri program perkongsian budaya Jepun ‘Japanese Culture Session’ yang berlangsung di Akademi Bahasa, hari ini.

Pelatih guru dari Jepun menunjuk cara memakai Kimono.

Penyelaras Program, R. Kumaraguru berkata, seramai tiga pelatih perguruan dari Universiti Tsukuba berkongsi kebudayaan Jepun yang bertujuan memperkenalkan tradisi dan budaya masyarakat negara matahari terbit kepada mahasiswa tempatan dengan lebih dekat.

Menurutnya, mereka berkongsi beberapa amalan tradisi dan kebudayaan seperti acara minum teh hijau jepun ‘sado’, cara memakai pakaian tradisi musim panas ‘kimono’ bagi  wanita serta pengenalan kepada beberapa permainan tradisi.

“Pelatih berkenaan terdiri daripada Sakai Kasumi, Otake Haruna dan Suzuki Kaito telah memulakan latihan praktikal selama tiga minggu bermula 17 Februari  yang lalu di Akademi Bahasa.

“Sebelum menamatkan sesi latihan praktikal pada 11 Mac dan akan pulang ke negara asal pada 12 Mac mereka bersetuju untuk memperkenalkan budaya masyarakat Jepun ”katanya yang juga merupakan Guru Bahasa Jepun di Akademi Bahasa UTM.

Kumaraguru berkata, kumpulan berkenaan turut mengadakan demonstrasi melukis siri kartun popular Jepun, ‘Manga’ serta memberi penerangan ringkas mengenai struktur masyarakat Jepun.

Katanya, program latihan itu diadakan hasil perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada tahun 2009 dengan menjadikan Akademi Bahasa UTM sebagai tuan rumah kepada guru pelatih bahasa Jepun dari Universiti Tsukuba yang menjalani latihan amali di sini.

Demonstrasi cara menyediakan dan meminum teh ditunjukkan oleh seorang guru pelatih dari Jepun.

“Universiti Tsukuba  akan menghantar guru pelatih ke Akademi Bahasa untuk menjalani latihan mengajar selama tiga minggu dan mereka diletakkan di bawah penyeliaan saya selaku pensyarah bahasa Jepun.

“Selain menjalani latihan amali, guru pelatih dikehendaki melaksanakan sesi pertukaran budaya dengan mahasiswa tempatan dan mereka yang berjaya menjalani latihan akan memperolehi dua jam kredit dalam pengajian di Universiti Tsukuba,” katanya.

Beliau berkata, selain Malaysia, Universiti Tsukuba turut menghantar guru pelatihnya ke Amerika Syarikat, Rusia serta Itali dan Akademi Bahasa UTM merasa bangga kerana diberikan kepercayaan mengendalikan program berkenaan.

Sebagai pertukaran, pada setiap tahun ‘The Japan Foundation’ telah bersetuju untuk menaja seorang mahasiswa bahasa Jepun UTM untuk menjalani latihan bahasa dan kebudayaan Jepun di Kansai Japanese Language Institute, Osaka selama enam minggu.

 

Explore More