JOHOR BAHRU, 8 Mac 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempamerkan pencapaian yang memberansangkan apabila lima bidang kejuruteraan dan teknologi disenaraikan dalam 100 terbaik dunia oleh QSWorld Ranking by Faculty 2017.
Bidang berkenaan ialah Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan serta Kejuruteraan Awam dan Struktur.
Bidang Alam Bina/Senibina juga tersenarai dalam 100 terbaik dunia.
Dalam penarafan terbaharu itu, kedudukan UTM meningkat dari tempat ke 100 pada tahun 2016 kepada 90 pada tahun 2017.
Manakala bidang Sains Sosial dan Pengurusan meningkat dari 211 pada tahun 2016 kepada 204 pada tahun 2017 dan Seni dan Kemanusiaan naik dari kedudukan 372 pada tahun 2016 kepada 296 pada tahun 2017.
Buat pertama kalinya bidang Natural Sciences disenaraikan di tempat ke 378 dalam kalangan 400 terbaik dunia.
Sementara itu, semua subjek kejuruteraan dan teknologi UTM iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Awam, Elektrik, Kimia dan Senibina disenarai dalam 100 terbaik dunia oleh QS World Ranking by Subject 2017.
Subjek Kejuruteraan Mekanikal, Awam dan Sains Komputer menjadi tiga subjek terbaharu disenaraikan dalam 100 terbaik dunia bagi 2017, manakala Elektrik, Kimia dan Senibina mengekalkan kedudukannya sejak 2016.
Pada penarafan kali ini, empat lagi subjek telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu Sains Alam Sekitar dan Sains Bahan yang menduduki kelompok 151-200 pada tahun 2016 kepada kelompok 101-150 pada tahun 2017.
Manakala subjek Pendidikan yang menduduki kelompok 201-250 pada tahun 2016 meningkat kepada 151-200 pada tahun 2017 dan Kimia di kedudukan 251-300 pada tahun 2016 naik kepada 151-250 pada tahun 2017.
Ini bermakna tujuh subjek telah naik ke peringkat yang lebih tinggi pada tahun 2017 berbanding tahun 2016.
Pada tahun ini, empat subjek baharu disenarai dalam QS World Ranking by Subject 2017 iaitu Sains Biologi, Pertanian dan Perhutanan, Linguistik dan Bahasa Moden.
Secara keseluruhan sebanyak 16 subjek yang ditawarkan oleh UTM telah tersenarai dalam kelompok 400 terbaik dunia berbanding 12 pada tahun 2016.
Peningkatan itu disumbang oleh pencapaian yang memberansangkan dari segi markah untuk semua indikator, khususnya reputasi akademik dan sitasi, menjadikan UTM antara universiti terbaik dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di negara ini.
Kejayaan terbaharu itu selaras dengan perancangan Pelan Global UTM untuk mentranformasikan UTM supaya tergolong dalam 50 universiti terkemuka dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi pada tahun 2020.
Pelan Global UTM 2012-2020 bertujuan untuk meletakkan UTM sebagai sebuah Universiti ternama yang dikenali di peringkat antarabangsa dalam aspek sumbangan ilmiah, penjanaan modal insan, impak terhadap ekonomi berasaskan inovasi Malaysia dan serantau, penonjolan pada peringkat antarabangsa serta penyerlahan jenama yang disegani.