November 28, 2024

Search
Close this search box.

AirAsia Liga Ragbi Malaysia: UTM Pirates bertemu Beringin Rendang

PASUKAN Ragbi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UTM Pirates akan menentang Beringin Rendang di peringkat suku akhir kejohanan AirAsia Liga Ragbi Malaysia Division 1 pada 25 Februari 2017 di Stadium Mini Kota Jaya, Kota Tinggi.

Pemain UTM Pirates bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni), Profesor Dato’ Dr Mohd Ismail Abd Aziz.

UTM Pirates berjaya melangkah ke pusingan suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan A di belakang ATM JLJ sementara Kota Bahru RC pula di tempat ketiga.

UTM Pirates berjaya melayakkan diri ke kejohanan AirAsia Liga Ragbi Malaysia apabila muncul juara Liga Ragbi Johor 2016.

“Di peringkat kumpulan, kami tewas kepada ATM JLJ namun berjaya menewaskan Kota Bahru RC sekaligus dinobatkan sebagai naib juara Kumpulan A yang dianggotai oleh tiga pasukan.

“Kejayaan mara ke suku akhir merupakan pencapaian terbaik UTM Pirates sejak menyertai kejohanan ini pada 2015 dan lebih membanggakan 80 peratus pemain adalah terdiri daripada pelajar tahun satu,” kata Pegawai Pengurusan, Haikal Harith Adam Prakash.

Beliau berkata, pasukannya berharap dapat memenangi perlawanan seterusnya dan layak ke peringkat separuh akhir dan sekiranya berjaya ke perlawanan akhir atau menjadi juara, ianya satu bonus bagi kami”, katanya.

Kejohanan AirAsia Liga Ragbi Malaysia merupakan liga ragbi elit negara yang disertai oleh pasukan terbaik di negara ini.

UTM Pirates mempunyai jadual yang agak padat dengan beberapa kejohanan yang bakal disertai selepas ini seperti Liga Ragbi Johor, NTU Singapore Sevens, MASUM Rugby Sevens, Karnival Sukan MASUM dan KPT Super 8 Rugby.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kejuaraan pada Liga Ragbi Johor tahun ini manakala untuk kejohanan yang lain, diharapkan kami berjaya untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok tiga yang terbaik “, katanya lagi.

Explore More