November 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM laksana konsep keutamaan dalam bajet penyenggaraan 2017

JOHOR BAHRU, 15 Februari 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan melaksanakan konsep keutamaan dan memberi tumpuan kepada aspek safety and security dalam mengurus bajet operasi dan penyenggaraan tahun 2017.

Profesor Azlan menyampaikan ucapan sebelum mempengerusikan taklimat.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Profesor Dr Azlan Abdul Rahman berkata, langkah berkenaan diambil untuk disesuaikan dengan peruntukan yang diluluskan oleh Pejabat Bendahari pada tahun ini yang berjumlah RM14.2 juta.

Beliau berkata, peruntukan untuk kerja-kerja penyenggaraan pada tahun ini berkurang hampir 40 peratus berbanding tahun 2016 yang menyaksikan tiada peruntukan untuk kerja baik pulih, ubah suai dan naik taraf bangunan, penyenggaraan dan pembelian perabot.

“Berikutan pemotongan peruntukan, Pejabat Harga Bina telah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 20 kontraktor yang berkaitan dengan kerja-kerja lanskap, penghawa dingin, elektrik dan pembersihan bagi menerangkan situasi yang bakal berlaku.

“Kerja pembersihan seperti mengutip sampah dan membersihkan tandas yang sebelum ini dilakukan sebanyak dua kali sehari akan dikurangkan kepada dua hari sekali di samping lanskap dan lift kerana kekurangan dana.

“Bagaimanapun ada kalangan kontraktor yang tidak mempercayai situasi sukar yang dialami oleh UTM sehingga persatuan mereka di peringkat kebangsaan menghantar wakil untuk mengetahui keadaan sebenar,” katanya.

Ahli panel yang dijemput menyertai taklimat.

Beliau berkata demikian di majlis Taklimat Bajet Mengurus Universiti (Operasi dan Penyenggaraan 2017) di Dewan UTMLead, hari ini.

Ahli panel taklimat berkenaan ialah Pengarah Kerja Profesor Dr Abd Latif Ahmad, Ketua Bahagian Penyenggaraan dan Ubahsuai Sr Hajah Rohayah Yusoff, Pegawai Undang-Undang Abdul Karim Abdul Aziz dan Pemangku Bendahari Hj Abu Bakar Mohd Salleh.

Profesor Azlan berkata, taklimat itu diadakan bagi membolehkan staf UTM, terutama ketua jabatan dan staf Pengurusan Profesional dan Pelaksana (PPP) mengetahui lebih lanjut senario bajet mengurus operasi dan penyenggaraan 2017.

“Tujuan taklimat ini untuk memberi gambaran terkini bajet penyenggaraan dan kesan terhadap kerja-kerja penyenggaraan yang akan memberi impak kepada tingkat perkhidmatan dan keselesaan staf.

“Oleh itu perubahan sikap akan membantu UTM dalam banyak hal dan staf diminta untuk menjaga kemudahan yang disediakan seperti menjaga kemudahan yang terdapat di rumah sendiri,” katanya.

Beliau mengingatkan staf UTM, mereka mempunyai tanggungjawab untuk menegur jika bajet yang disediakan tidak mengikut keutamaan dan sekiranya berlaku pembaziran mereka perlu membawa perkara tersebut kepada pengetahuan pihak pengurusan.

Katanya, apabila mengahadapi kekangan sumber kewangan untuk penyelenggaraan, pihak universiti mesti menggunakan strategi keutamaan (priority strategy) dan mengurangkan pembaziran.

“UTM akan memastikan situasi sukar ini tidak menjejas core business UTM dan tidak akan berkompromi dengan kualiti pengajaran, pembelanjaran dan penyelidikan kerana ia adalah kekuatan ‘brand’ UTM,” katanya.

Sementara itu, Sr Hajah Rohayah berkata, keutamaan akan diberikan kepada kerja-kerja yang memerlukan pembaikan segera seperti membaiki kerosakan bumbung, tangka air dan saluran air hujan di fakulti, kolej dan makmal.

Selain itu, pihaknya tidak akan berkompromi dengan aspek safety and security yang perlu diberi keutamaan seperti memperbaiki roda kerusi yang rosak dan penghawa dingin.

“Bagi mereka yang mempunyai penghawa dingin berasingan hendaklah menggunakan secara efektif kerana ia menyumbang 60 peratus kepada kos penggunaan elektrik setiap bulan.

Explore More