April 28, 2024

Search
Close this search box.

Projek Penghutanan Semula galak kegiatan ekopelancongan

JOHOR BAHRU, 31 Januari 2017 –  Projek Penghutanan Semula Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mampu menggalak kegiatan ekopelancongan dan menjana pendapatan.

Profesor Dr Wahid sedang menanam pokok Merbau.

Projek itu merupakan usahasama antara UTM dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang telah dimuktamadkan perlaksanaannya melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 2012.

Naib Canselor Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata memorandum persefahaman itu telah ditandatangani pada bulan Julai 2012 manakala kerja-kerja perhutanan semula untuk tempoh lima tahun telah bermula pada bulan September tahun yang sama.

“Seluas 12 hektar tanah dalam kawasan kampus telah diperuntukkan untuk projek berkenaan yang mana 10 hektar telah ditanam dengan spesis tumbuhan liar hutan, satu hektar ditanam dengan 20 jenis pokok buluh dan satu hektar lagi telah dijadikan Taman Herba dengan 10 spesis herba,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penanaman pokok Merbau di Hutan Rekreasi UTM Skudai berhampiran dengan kem Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

Hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Kerja, Prof. Dr. Abd. Latif Salleh, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Prof. Dr. Zainuddin Abd. Manan, Pendaftar UTM, Wan Zawawi Wan Abdul Rahman dan Felo Kanan FRIM, Dr. Ahmad Zuhaidi Yahya.

Prof. Wahid berkata sebanyak 30 spesis pokok hutan liar telah ditanam di kawasan 10 hektar tanah yang diperuntukkan, antaranya Kalumpang, Engkabang, Belian dan Gapis.

Matlamat utama projek itu bagi menggantikan kawasan belukar kepada hutan hujan tropika untuk pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.

Explore More