JOHOR BAHRU, 25 jaNUARI 2017 – Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Profesor Dr Azlan Abdul Rahman merangkap Setiausaha Dana Wakaf UTM telah dijemput menjadi tetamu Johor FM bagi membincangkan mengenai Dana Wakaf Pendidikan UTM bersama DJ Rose pada 23 Januari lalu.
Berikut adalah sedutan wawancara berkenaan;
Apakah Konsep Dana Wakaf Pendidikan UTM?
Dana Wakaf Pendidikan UTM ialah program penjanaan dana berlandaskan konsep Wakaf Am melalui sumbangan dana berbentuk tunai dan harta di mana pewakaf mewakafkannya ke Dana Wakaf Pendidikan UTM sebagai pemegang amanah dengan niat kerana Allah S.W.T dan juga bagi tujuan kemajuan dan kepentingan ilmu sejagat.
Dari manakah sumber bagi pelaksanaan Dana Wakaf Pendidikan UTM ini akan diperolehi?
Sumbangan UTM – Dana berbentuk Tunai/Harta yang diberikan oleh pihak UTM sebagai perbelanjaan asas pengurusan dan operasi Dana Wakaf Pendidikan UTM;
- Potongan Gaji Staf – Dana yang dipotong dari gaji bulanan staf UTM seperti yang dipersetujui oleh staf;
- Sumbangan Pewakaf – Dana berbentuk Tunai/Harta yang diberikan oleh penyumbang-penyumbang wakaf individu dan syarikat samada dari dalam dan luar UTM.
Apakah Objektif Dana Wakaf Pendidikan UTM ?
Menyediakan alternatif kepada masyarakat untuk melakukan ibadah wakaf;
- Mengenalpasti kaedah yang sesuai untuk melaksanakan pengumpulan dana wakaf dan pengagihannya kepada penerima (Al-Mawquf) yang layak;
- Menyediakan biasiswa kepada penerima (Al-Mawquf) terpilih sebagai alternatif kepada skim-skim bantuan kewangan yang sedia ada;
- Menyediakan dana kepada pihak berkaitan bagi tujuan penyelidikan, konsultansi, pembangunan makmal, penyediaan tesis, dan lain-lain.
Bagaimanakah kaedah Agihan Hasil Pelaburan Dana Pendidikan Wakaf UTM ini dibahagikan ?
- 10% akan digunakan bagi tujuan Pengurusan Dana Pendidikan Wakaf UTM;
- 10% akan diserahkan kepada pihak MAIJ bagi tujuan urusan pentadbiran/pendaftaran wakaf;
- 50% akan dilaburkan semula bagi tujuan pengembangan dana;
- 30% akan disalurkan semula kepada pokok untuk kegunaan mengikut syarat wakaf.
Bila kah UTM memperolehi Status Nazir Khas dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) ?
Pihak Universiti Teknologi Malaysia telah memperoleh status pelantikan Nazir Khas oleh pihak MAIJ pada 26 Julai 2016. Status Nazir Khas yang diberikan kepada UTM adalah dengan kelulusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ).
Berdasarkan status tersebut, pihak UTM telah melancarkan secara rasminya Dana Wakaf dan seterusnya majlis menandatangani MOA di antara UTM dengan MAIJ pada 5hb Dis 2016 yang lalu. Majlis telah dilancarkan dan disaksikan oleh YB Tuan Hj. Abd Mutalib bin Abd. Rahim, Timbalan Pengerusi MAIJ, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor.
Bagaimanakah kaedah penggunaan dana wakaf ini dan siapakah yang layak sebagai penerima Dana wakaf UTM ini ?
Penerima yang berkelayakan yang memenuhi syarat-syarat penerima wakaf yang ditetapkan dengan tambahan kriteria seperti di bawah:
- Mendapat tawaran pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD secara sepenuh masa di Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti luar.
- Subjek akademik yang diambil mestilah berdasarkan syarak dan tidak bercanggah dengan agama Islam.
Apakah kaedah pelaburan yang dirancang oleh UTM bagi Dana Wakaf UTM ini bagi mengembangkan nya ?
Kaedah-kaedah pelaburan yang akan digunakan bagi mengembangkan Dana Wakaf Pendidikan UTM adalah:-
- Sumbangan berbentuk wang tunai – dilaburkan sebagai simpanan tetap;
- Sumbangan berbentuk bangunan – penjanaan melalui sewaan atau pajakan menggunakan kaedah model bisnes yang kreatif;
- Sumbangan berbentuk hartanah – pembangunan hartanah secara kreatif dan professional yang boleh menjana pendapatan melalui pelbagai model bisnes.
Apakah governan yang dilaksana oleh pihak UTM bagi memastikan Dana Wakaf UTM ini berjalan dengan lanacar dan memenuhi syariat serta syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak MAIJ ?
Pertamanya ialah penubuhan Lembaga Pengarah Dana Wakaf UTM;
Lembaga Pengarah Dana Wakaf Pendidikan UTM akan dipengerusikan dengan persetujuan bersama antara UTM dan MAIJ. Kerjasama antara UTM dan MAIJ akan dibuat melalui satu MoU (Memorandum Persefahaman). Persetujuan yang dicapai ialah seperti berikut:
Pengerusi – Timbalan Pengerusi MAIJ (EXCO Agama Kerajaan Negeri Johor)
Timbalan Pengerusi 1 – Setiausaha Kerajaan Negeri Johor
Timbalan Pengerusi 2 – Ahli Lembaga Pengarah UTM
Setiausaha – Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM
Timbalan Setiausaha – MAIJ
Bendahari – Bendahari UTM
Ahli – 1) 1 orang wakil Lembaga Pengarah UTM
2) Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ
3) Naib Canselor UTM
4) Mufti Johor
5) Timbalan Mufti Johor
6) Penasihat MAIJ
7) 1 orang Tokoh dari luar (Pakar Wakaf)
8) 1 orang Tokoh dari MAIJ (ahli perniagaan atau pelaburan)
9) 1 orang wakil Kementerian Pengajian Tinggi
Keduanya ialah di bawah Lembaga Pengarah Dana Wakaf Pendidikan UTM, akan ditubuhkan beberapa jawatankuasa yang difikirkan sesuai dengan dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Dana Wakaf Pendidikan UTM.
Jawatankuasa-jawatankuasa yang dicadangkan di bawah Lembaga Pengarah Dana Wakaf Pendidikan UTM ini ialah seperti berikut:-
- Jawatankuasa Syariah Wakaf UTM;
- Jawatankuasa Kewangan/Perkhidmatan Wakaf UTM;
- Jawatankuasa Audit Wakaf UTM;
- Jawatankuasa Perancangan & Pelaburan Wakaf UTM;
- Jawatankuasa Penyelidikan & Pembangunan Wakaf UTM.
Di peringkat Universiti, satu Jawatankuasa Pengurusan Dana Wakaf Pendidikan UTM akan ditubuhkan bagi mengurus, memantau, mengawal dan mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan Dana Wakaf Pendidikan UTM ini. Cadangan Keahlian Jawatankuasa Pengurusan Dana Wakaf Pendidikan UTM adalah seperti di bawah:-
Pengerusi – Naib Canselor UTM
Pengerusi gantian – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan UTM)
Ahli – 1) Pengarah Dana Wakaf UTM
2) Pengarah CFIRST
3) Bendahari UTM
4) Kadi Besar Johor
5) KPP Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAIJ
6) Pegawai Wakaf MAIJ
7) Pengarah Endowmen UTM
8) Penasihat Undang-Undang UTM
Urus Setia – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan UTM)