JOHOR BAHRU, 21 Disember 2016 – Seramai sembilan orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) telah melaksanakan Program ‘Reaching New Generation Through Digital Media’ yang bertempat di FELDA Taib Andak, baru-baru ini.
Program selama dua hari itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan penyertaan seramai 25 orang kanak-kanak berumur sembilan hingga 13 tahun yang merupakan penduduk di perkampungan berkenaan.
Pengarah Program, Aliif Naim Abd. Halim berkata program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai media digital kepada golongan kanak-kanak yang sedang meningkat dewasa di samping memupuk minat golongan itu menceburi bidang sains komputer apabila dewasa kelak.
“Antara aktiviti yang dijalankan adalah pengenalan kepada komponen-komponen komputer, ceramah mengenai isu-isu alam siber, slot membuat laman web dan pengenalan kepada pengaturcaraan.
“Pendedahan awal adalah penting untuk diberikan kepada golongan ini tentang kesan baik dan buruk mengenai penggunaan internet kerana merek sudah mula menggunakan kemudahan teknologi maklumat lebih awal dari kita,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat kini telah didedahkan kepada pelbagai bentuk media massa yang bertujuan menyampaikan maklumat menerusi rangkaian teknologi maklumat terkini.
“Melihatkan kepada kerancakan pertumbuhan media digital pada era ini, tidak hairanlah jika pakar-pakar IT semakin diperlukan sebagai tenaga kerja dalam semua industri pekerjaan.
“Walau bagaimanapun, bukan sahaja pakar komputer dan IT malah pengguna juga seharusnya tahu beberapa perkara dalam penggunaan teknologi media digital seperti isu-isu dan etika di alam siber dan sebagainya,” katanya lagi.
Program berakhir dengan majlis penutup yang disempurnakan oleh Pengurus Felda Taib Andak, Harun Al-Rasyid Marzuki.
Turut menghadiri majlis adalah Penghulu kampung, Tuan Hj. Md. Naim Samuri dan pensyarah dari UTM Johor Bahru, Azizul Azman.