JOHOR BAHRU, 9 November 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) menandatangani perjanjian bagi membanguna sumber manusia dalam kewangan Islam.
Dekan Fakulti Tamadun Islam UTM, Profesor Madya Dr. Arieff Salleh Rosman berkata, perjanjian itu membolehkan UTM berkongsi maklumat dan kepakaran melalui penyelidikan dan dialog intelektual, selain mensasarkan inovasi dan dinamisma dalam bidang kewangan Islam.
“Kerjasama ini diharap dapat menyediakan kemudahan pertukaran staf UTM sebagai Pelawat Akademik ke ISRA, skim pelawat pelajar PhD UTM ke ISRA dan lain-lain bidang yang dipersetujui pada masa depan.
”Hubungan kerjasama antara UTM dan ISRA membolehkan kedua belah pihak melaksanakan pelbagai kerjasama melalui aktiviti pembelajaran, latihan, penyelidikan dan penerbitan,” katanya di majlis menandatangan perjanjian di FTI, hari ini.
Dr Arieff Salleh mewakili UTM manakala ISRA diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Profesor Dr. Mohamad Akram Laldin. Majlis itu diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Infaq 2016 yang diadakan di Dewan Al-Marbawiy, FTI.
Beliau berkata, kerjasama itu tertumpu kepada keperluan semasa kemahiran yang diperlukan oleh industri yang akan memberi manfaat kepada staf dan pelajar UTM, khususnya mereka yang memiliki kemahiran dan pengetahuan dalam bidang Shari’ah dan Kewangan Islam.
“Kerjasama antara FTI dan ISRA adalah untuk tempoh tiga tahun dan buat permulaan Profesor Dr Mohamad Akram akan dilantik sebagai Profesor Pelawat bermula Disember 2016,” katanya.
Sementara itu, Profesor Mohamad Akram berkata, ISRA adalah akademi penyelidikan antarabangsa Islam yang diasakan oleh Bank Negara bagi menjalankan penyelidikan dalam syariah dan kewangan Islam.
“Malaysia diiktiraf sebagai hab kewangan Islam global dan kerjasama antara UTM dan ISRA dapat melatih lebih ramai graduan yang akan memantapkan lagi pembangunan sumber manusia dalam kewangan Islam,” katanya.