April 30, 2024

Search
Close this search box.

NC: UTM perlu model pengurusan cekap

Profesor Wahid (kiri) bersama pegawai kanan UTM di majlis Konvokesyen ke-57.
Profesor Wahid (kiri) bersama pegawai kanan di Majlis Konvokesyen UTM ke-57.

JOHOR BAHRU, 22 Oktober 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memerlukan model pengurusan baharu yang cekap dan berkesan supaya terus relevan kepada pelajar, ibu bapa, industri dan pemegang taruh berikutan cabaran besar lanskap institusi pendidikan tinggi hari ini yang sangat pantas.

Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, UTM secara berterusan dan bersungguh-sungguh berusaha ke arah mempertingkatkan reputasinya secara holistik melalui pendekatan kreatif, inovatif dan entrepreneurial.

“Kini UTM berada dalam kelompok 25 universiti terbaik dunia dalam kalangan universiti berusia 50 tahun mengikut penarafan QS World Ranking dan kecemerlangan ini adalah berkat kerja keras dan pengorbanan semua warga UTM,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Konvokesyen Ke-57 UTM, hari ini.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 5,467 graduan yang terdiri daripada 362 PhD,  873 Sarjana, 2,533 Sarjana Muda, 733 Diploma termasuk 966 graduan Sarjana Muda dan Diploma program kerjasama dengan Institusi Pengajian Swasta.

Beliau berkata, UTM sangat menghargai kepercayaan pelbagai pihak dalam menyediakan ruang dan peluang kepada UTM bagi memanfaatkan kepakaran dan khazanah ilmu bagi kebaikan masyarakat.

“UTM dan kerajaan negeri Johor telah menubuhkan Institut Inovasi Strategik Johor bagi membudayakan dan memperkasakan inovasi dan keusahawanan secara strategik dalam memperkukuhkan pembangunan ekonomi negeri Johor selaras dengan gagasan Johor Berkemajuan,” katanya.

Profesor Wahid turutmerakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga UTM atas segala usaha meletakkan UTM sebagai institusi ternama.

“Sama ada saudara adalah warga akademik atau pengurusan profesional dan pelaksana, khidmat bakti saudara sangat penting bagi membina satu ekosistem yang kondusif bagi melahirkan modal insan berkualiti mahupun hasil penyelidikan dan inovasi yang boleh meningkatkan kualiti kehidupan manusia sejagat,” katanya.

Explore More