April 27, 2024

Search
Close this search box.

Prof. Dato’ Dr Ahmad Darus dilantik Pengerusi MPN Chapter UTM

Profesor Datuk Dr Ahmad Darus.
Profesor Datuk Dr Ahmad Darus.

JOHOR BAHRU, 18 Oktober 2016 – Pengerusi Majlis Profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Darus telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter UTM bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Jun 2016.

Beliau sebelum ini menyandang jawatan Ketua Kluster Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Bina MPN selama dua penggal bermula 1 April 2010 sehingga 31 Mac 2012 dan 1 April 2014 hingga 31 Mac 2016.

Sebagai Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter UTM, Profesor Ahmad akan berusaha untuk memperkenalkan profesor di UTM yang mempunyai kepakaran tertentu.

“Terdapat dua perkara penting yang bakal saya usahakan sepanjang tempoh perlantikan ini iaitu melihat kepada isu-isu yang memerlukan kepakaran profesor UTM dan mengetengahkan kepakaran profesor kita dalam isu-isu pembangunan negara.

“Saya akan cuba menyelaraskan aktiviti MPN di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan MPN Chapter UTM agar mana-mana isu ataupun permasalahan negara yang memerlukan kepakaran profesor UTM saya akan cuba untuk ketengahkan,” katanya semasa ditemui di  pejabatnya hari ini.

Menurutnya, sebagai langkah untuk mempermudahkan rujuk silang kepakaran profesor di universiti ini, beliau sedang berusaha untuk menyiapkan Direktori Kepakaran Profesor UTM.

Sijil pelantikan.
Sijil pelantikan.

“Saya sudah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Ros bagi membincangkan pelbagai perkara termasuklah format piawai Direktori Kepakaran Profesor yang boleh digunakan di setiap chapter Universiti Awam (UA).

“Perkara yang termasuk dalam skop perbincangan adalah struktur piawai penubuhan MPN di setiap UA bagi tujuan memudahkan penubuhan majlis ini,” katanya.

Sehubungan itu, Prof. Ahmad berharap agar Profesor di UTM dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya sekiranya diminta untuk berkongsi kepakaran oleh negara.

“Sebagai Pengerusi MPN Chapter UTM, saya amat berharap agar dapat menggerakkan semua profesor di universiti ini untuk membantu menjayakan aktiviti MPN di peringkat pusat mahupun negeri.

“Saya berharap agar semua profesor UTM tampil membantu negara jika diperlukan,” katanya lagi.

Explore More