November 26, 2024

Search
Close this search box.

Noor Hanis wanita pertama dilantik Presiden MPMUTM

Noor Hanis menerim watikah perlantikan daripada DAtuk Profesor Dr Wahi
Noor Hanis menerima watikah pelantikan daripada Datuk Profesor Dr Wahid.

JOHOR BAHRU, 16 Oktober 2016 –  Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Sains Biologi, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME) Noor Hanis Mohd Noor mencipta sejarah menjadi wanita pertama dipilih sebagai Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau menerima watikah perlantikan sebagai Presiden bagi sesi 2016/2017 yang disampaikan oleh Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar di Dewan Senat, hari ini.

Pemilihan kali ini menyaksikan barisan kepimpinan MPM dikuasai oleh wanita apabila Setiausaha Agung disandang oleh Nur Umairah Muhamad, Bendahari Kehormat oleh Nur Salsabilla Aziz dan Setiausaha Kerja oleh Azzyati Awanis Mohamad Khairuddin.

Bagaimanapun, jawatan Timbalan Presiden disandang oleh Mohd Fitri Abd Manaf.

Noor Hanis, 22, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan pernah menjadi Exco Jabatan pada sesi 2014/15 dan Timbalan Presiden sesi 2015/16.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Perlantikan dan Penyampaian Watikah MPM sesi 2016/2017 berkata pemilihan beliau sebagai presiden wanita yang pertama bagi mengetuai barisan kepimpinan mahasiswa universiti berkenaan membuktikan bahawa komuniti mahasiswa kini telah berubah dan matang.

Barisan pemimpin MPMUTM sesi 2016/17 bersama Naib Canselor.
Barisan pemimpin MPMUTM sesi 2016/17 bersama Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor HEMA.

“Ini membuktikan bahawa komuniti mahasiswa kini lebih bersifat terbuka dan tidak mengamalkan perbezaan jantina dalam penentuan jawatan penting bagi menjayakan agenda yang diperjuangkan.

“Jika seorang wanita itu mampu untuk membawa sesuatu yang berfaedah untuk semua sama seperti yang seorang lelaki lakukan mengapa tidak beri peluang kepadanya untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Mengulas mengenai perancangannya selepas dipilih sebagai Presiden, Noor Hanis berkata terdapat dua perkara penting yang menjadi penekanannya iaitu isu keusahawanan dan juga Tanggungjawab Khidmat Masyarakat (CSR).

Beliau berkata, masih kurang mahasiswa UTM yang melibatkan diri dalam aktiviti CSR dan keusahawanan sedangkan kemahiran dalam kedua bidang berkenaan dapat membentuk insan yang berkualiti.

“Kedua aspek ini dapat menjadikan seseorang graduan itu menjadi unggul kerana dapat mengasah bakat kepimpinan dan pengurusan yang ada pada dirinya.

“Saya melihat nilai ini amat penting kerana seseorang mahasiswa itu tidak selamanya menuntut dalam kampus dan kembali juga kepada masyarakat dan sekiranya mereka jika tidak pandai membawa diri pasti akan timbul masalah di alam pekerjaan kelak,” katanya.

Hadir sama di majlis penyampaian watikah perlantikan itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA), Profesor Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz, pegawai kanan HEMA dan pengetua kolej.

 

 

 

 

 

 

 

Explore More