November 26, 2024

Search
Close this search box.

JKM KTC beri pendedahan kehidupan di universiti kepada anak yatim

Para peserta program ‘The Little Stars’ anjuran JKMKTC memberikan gaya terbaik ketika pelancaran program tersebut di Kolej Tunku Canselor, UTM Johor Bahru.
Para peserta program ‘The Little Stars’ anjuran JKMKTC memberikan gaya terbaik ketika pelancaran program tersebut di Kolej Tunku Canselor, UTM Johor Bahru.

JOHOR BAHRU, 6 Oktober 2016 – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tuanku Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Institution of  Engineers Malaysia (IEM) telah menganjurkan program ‘The Little Stars’ .

The Little Stars adalah sebuah program khidmat pendidikan untuk anak yatim dari 11 buah daerah di negeri Johor yang melibatkan seramai 150 pelajar tingkatan lima dan 40 mahasiswa UTM.

Pengarah Program, Muhammad Faiq Mohamed Faisal berkata, program khidmat pendidikan yang dikhususkan kepada anak-anak yatim itu bertujuan memberi pendedahan mengenai kehidupan di kampus di samping mendapat pengukuhan dalam bidang akademik.

“Matlamat utama program ini adalah bagi memberikan pengukuhan kepada peserta dari segi akademik terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik khususnya sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Para peserta juga berpeluang untuk mendapat pendedahan mengenai kehidupan harian sebagai penuntut universiti,” katanya.

Muhammad Faiq berkata, sepanjang program itu berlangsung aktiviti yang dijalankan adalah melibatkan akademik dan motivasi.

“Contoh program yang melibatkan akademik adalah slot pengukuhan Matematik dan Bahasa Inggeris yang dapat membantu para peserta dari segi pengukuhan dan persediaan bagi menduduki peperiksaan.

Institut Voltan dan Arus Tinggi (IVAT) di UTM merupakan salah satu dari tarikan lawatan delegasi pelajar sekolah daripada program ‘The Little Stars’ anjuran JKMKTC.  Lawatan ini dapat memberikan satu anjakan paradigma pada pesertanya untuk mengorak langkah ke menara gading.
Institut Voltan dan Arus Tinggi (IVAT) di UTM merupakan salah satu dari tarikan lawatan delegasi pelajar sekolah daripada program ‘The Little Stars’ anjuran JKMKTC. Lawatan ini dapat memberikan satu anjakan paradigma pada pesertanya untuk mengorak langkah ke menara gading.

“Selain akademik, peserta juga berpeluang mendapatkan pendedahan dan motivasi daripada kaunselor dari Pusat Kaunseling UTM untuk memberikan bantuan psikologi bagi meningkatkan semangat jati diri serta keyakinan sebagai salah satu langkah persediaan sebelum melangkah ke alam universiti,” katanya.

Peserta juga diberikan peluang untuk menunjukkan bakat dari segi inovasi dalam slot “We Are The Inventors” di Centre of Student Innovation (CSI) bagi membantu peserta meningkatkan daya kreativiti dalam diri masing-masing.

Selain itu, mereka dibawa melawat ke Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Institut Voltan dan Arus Tinggi (IVAT) bagi merealisasi hasrat mereka untuk ke menara gading.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Haji Zaini Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya.

Explore More