JOHOR BAHRU, 10 Oktober 2016 – Institut Pembangunan Bioproduk Universiti Teknologi Malaysia (IBDUTM) dipilih oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk penganjuran MPOB Technical Seminar bertajuk ‘Pengenalan kepada Minyak Sawit serta Pengaplikasiannya’.
Matlamat utama seminar ini adalah untuk mempromisikan faedah dan khasiat minyak sawit serta menyampaikan maklumat terkini aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta isu-isu yang sedang dihadapi oleh pihak industri.
Timbalan Pengarah IBDUTM, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi berkata, pengisian seminar meliputi lapan (8) pembentangan kertas kerja oleh pihak MPOB dan UTM yang merangkumi penyelidikan, pembangunan dan pengaplikasian terkini minyak sawit dalam usaha meningkatakan kesejahteraan industri minyak sawit Malaysia.
“IBD yang mempunyai pengalaman lebih daripada 15 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan bioproduk terutamanya produk berasaskan herba dan bahan sumber asli tempatan amat positif terhadap perkembangan industri minyak sawit dengan kerjasama R&D yang dijalinkan antara dua belah pihak.
“Sinergi antara pusat kecemerlangan universiti awam, agensi seperti MPOB dan pihak industri dapat mempertingkatkan kualiti dan nilai tambah kepada pembangunan produk berasaskan penyelidikan agar dapat bersaing dan mendapat penerimaan pengguna di pasaran antarabangsa,” katanya.
Sebagai salah satu entiti penyelidikan yang giat menjalankan penyelidikan mengenai minyak sawit Malaysia, MPOB harus memastikan hasil R&D yang dijalankannya mencapai objektif dan seiringan dengan keperluan pasaran.
“Bagi mencapai matlamat ini, MPOB telah memperluaskan jaringan penyelidikan melalui hubungan strategik dengan pihak Universiti Awam dalam usaha mengukuhkan lagi sinergi diantara kepakaran yang terdapat Universiti Awam serta agensi seperti MPOB yang fokus dan pakar dalam penyelidikan minyak sawit,” katanya.
Industri kelapa sawit di Malaysia seperti yang sedia maklum adalah antara komuditi yang berperanan dalam menyumbang kepada sumber pendapatan ekonomi negara. Dengan era globalisasi dan keadaan ekonomi yang tidak menentu, industri ini telah melalui pelbagai cabaran dalam mengekalkan daya saing industri tempatan mahupun antarabangsa.
“Bagi mempertingkatkan nilai komoditi kelapa sawit, salah satu pendekatan adalah untuk mempelbagaikan pengaplikasian miinyak sawit dalam bentuk produk benilai tinggi agar dapat menarik perhatian pengguna dan industri.
“Ianya hanya mampu direalisasikan melalui proses inovasi, penyelidikan dna pembangunan termaju agar dapat memberikan nilai tambah kepada produk hiliran seperti kelapa sawit,” katanya.