April 29, 2024

Search
Close this search box.

SMK Puteri Wangsa johan Young Innovate Johor 2016 Competition

 

Pasukan SMK Puteri Wangsa besama hadiah yang mereka menangi.
Pasukan SMK Puteri Wangsa besama hadiah yang mereka menangi.

JOHOR BAHRU, 1 OKTOBER 2016 – Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wangsa membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan sijil kecemerlangan apabila muncul johan Young Innovate Johor 2016 Competition yang telah berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor, 24 September lalu.

Mereka menghasilkan projek Farming Box iaitu kotak yang menyediakan penyelesaian pengairan dan pencahayaan secara automatik kepada pengusaha tanaman komersil dan domestik.

Pasukan yang dibimbing oleh Mentor Cikgu Tan Jiun Wen mempamerkan rekabentuk susunan cermin yang juga menjadi faktor kepada penyelesaian yang mudah kepada pengguna.

Tempat kedua dimenangi oleh SMK Bandar Uda Utama dengan projek inovasi Smart Scarecrow, ketiga, SMK Sultan Ismail yang membawa Smart Pot sebagai projek mereka dan keempat dengan projek Auto Fish Feeder ialah dari SMK Ulu Tiram.

Hadiah tempat kedua, ketiga dan keempat berupakan tunai masing-masing RM750, RM500 dan RM250 dan trofi.

Keempat pemenang telah dijemput untuk mempamerkan produk inovasi mereka bersempena dengan Program Johor Entrepreneurship n Innovation Day (JEnID) 2016 yang akan diadakan di DSI pada 4 hingga 6 Oktober ini.

Pertandingan Young Innovate itu telah dirasmikan oleh wakil rasmi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mustafa Ibrahim yang dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Prof Dr Rose Alinda Alias, Penasihat Program Profesor Madya Dr Mohd Zaidi Abd Rozan, Pengarah UTMTEC Prof Kamariah Ismail, Pengerusi Program Chai Boon Swee dan wakil Dreamcatcher Sdn Bhd, Dr Chew Yen Seng dan Kam Yap Seng.

Dalam ucapan alu-aluan Prof Rose Alinda menekankan konsep 21st Century Education, yang mana kini pembelajaran lebih berasaskan projek, menggunakan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat dan perlu meningkatkan ciri pencipta dalam kalangan pelajar.

Seramai 511 orang menyertai program ini yang terdiri dari 386 orang murid sekolah menengah, 35 orang guru, 60 kru, 30 orang mentor, 104 kumpulan dari 32 buah sekolah yang terlibat. Ibu-bapa pelajar juga turut hadir dalam pertandingan itu.

Mohd Zaidi yang juga pengurus UTMTEC berkata, Young Innovate adalah unik, kerana membabitkan kerjasama antara  Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah, industri (Dreamcatcher) dan UTM.

“Program ini memakan masa selama enam bulan membabitkan 25 mahasiswa UTM yang dipilih menjadi mentor kepada pelajar sekolah untuk memberi tunjuk ajar mengenai Sistem Terbenam (Embedded System) Arduino di sekolah yang terlibat.

“Tiga fasa utama telah direkabentuk dalam tempoh enam bulan iaitu fasa mengenal pasti dan melatih pelajar-pelajar UTM sebagai Mentor bermula Mac hingga Mei 2016, fasa menganjurkan “Boot Camp” dan “Mentoring” di sekolah-sekolah yang berminat antara  Jun dan September 2016,” katanya.

Beliau berkata, fasa akhir iaitu pertandingan di peringkat negeri pada 24 September 2016, yang mana pemenang tiga utama dipilih untuk bertanding di peringkat kebangsaan pada 4 hingga 6 November 2016 di Mines International Exhibition and Conference Centre (MIECC), Selangor.

Menurutnya, mereka telah mendapat maklumbalas dari pihak sekolah yang mana pelajar mendapat inspirasi dan semangat dalam bidang Science Technology Engineering Mathematics (STEM), berjaya membangunkan kemahiran iaitu penyelesaian masalah, pemikiran kritis, sikap tabah dan bekerjasama.

Selain itu, pelajar berjaya mendapat inspirasi terhadap pembelajaran sepanjang hayat melalui pendedahan kepada sumber terbuka software dan hardware, peningkatan keberanian serta keyakinan murid terhadap diri mereka sendiri.

“Mereka mereka dapat merasai suasana pertandingan inovasi dan hasil maklum ini, boleh saya katakan program ini adalah program yang berjaya,” katanya.

Dr Mohd Zaidi mengucapkan jutaan terima kasih kepada penaja iM4U, MDeC, UTM, PRIMELab UTM, Gates IT Sdn Bhd, G&G Desert Products Sdn Bhd, Tok Ayah Food Industries Sdn Bhd dan Thinkerspace atas sumbangan yang diberikan bagi menjayakan program berkenaan.

 

Explore More