JOHOR BAHRU, 31 Oktober 2015 – Suasana di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dihangatkan dengan¬ kehadiran kira-kira 300 penunggang¬ basikal yang menyertai¬ Kayuhan UTM Ecotourism Fun Ride 2015 yang berlangsung pada 31 Oktober 2015.
Berkonsepkan kayuhan santai, program itu disertai peminat sukan berbasikal peserta yang datang dari sekitar Johor Bahru dan daerah berdekatan serta pasukan-pasukan seperti MPJBT, Kastam DiRaja Malaysia, Seri Alam Cycling Club, PS Holidays, FKT Bike Club, Impian Mas MTB, Redah Cycling Team dan banyak lagi. Hampir 30 orang peserta kanak-kanak seawal usia 8 tahun juga dilihat bersama-sama menyertai acara ini yang turut melibatkan pelbagai bangsa.
Kayuhan sejauh hampir 22 kilometer itu melalui lokasi tarikan di UTM seperti Taman Ekuin, Taman Rusa, Hutan Rekreasi, Balai Cerapan, Scholar Inn dan seterusnya menjamu selera di Arked Lestari Kolej 9. Sebanyak 56 cabutan bertuah juga disediakan bagi memeriahkan lagi suasana.
Pengarah Kerja UTM, Prof. Dr. Abd Latif Saleh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana berkata, tujuan penganjuran acara ini bagi mempromosi kampus UTM sebagai kampus ekopelancongan yang menawarkan pelbagai produk dan tarikan pelancongan kepada masyarakat luar. “Ia juga dianjurkan sebagai salah satu program Sambutan 30 tahun UTM bersama Negeri Johor” ujar beliau lagi.
Pengarah program ini, Masnawi Miskam dalam taklimat sebelum kayuhan bermula mengharapkan acara ini akan meninggalkan kenangan manis kepada semua peserta. “Ini bukanlah pertandingan tetapi kayuhan santai di mana peserta akan menikmati keindahan kampus UTM” katanya lagi.
Yang hadir sama ialah Pengarah Keselamatan UTM Abd Rahim Abd Karim yang menyempurnakan pelepasan kayuhan pada jam 8.30 pagi dan seterusnya menyertai sepanjang kayuhan yang bermula dan berakhir di Dataran UTM
Sementara itu salah seorang peserta, Anas Mat Zuki 46 yang hadir bersama anaknya berkata, program tersebut berjaya mengeratkan silaturrahim di antara peminat berbasikal pelbagai peringkat umur dan keturunan. Kayuhan ini juga memberi inspirasi kepada anak beliau Naufal Hakim Anas, 15 yang menanam azam melanjutkan pelajarannya di UTM satu hari nanti.