April 27, 2024

Search
Close this search box.

UTM-NVIDIA tandatangan MoU bangunkan modal insan berkualiti dalam bidang perkomputeran dan analitik data

JOHOR BAHRU, 16 Jun 2015 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan NVDIA Corporation USA telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai tanda bersetuju untuk bekerjasama membangunkan modal insan dalam bidang pengkomputeran dan analitik data besar serta penghitungan Unit Pemprosesan Grafik (GPU).
Memorandum Persefahaman berkenaan telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan juga Naib Presiden NVDIA Corporation Solution Architecture, Marc Hamilton.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis tersebut, Prof. Azlan berkata kerjasama ini secara tidak langsung dapat membantu negara menghasilkan ramai pakar dalam kejuruteraan analisa data besar dan sains data serta pembelajaran mesin dalam tempoh terdekat ini.

“NVIDIA Corporation telah melangkaui citra penyelidikan bukan saja terhadap grafik berkomputer malah kepada bidang lain seperti pembelajaran mesin, visi komputer, pemprosesan imej, penghitungan saintifik dan juga pengkomputeran serta analitik data besar.
“Analitik data besar telah menjadi satu fenomena yang amat mencabar dalam pelbagai disiplin seperti sains sosial, politik, pendidikan, perubatan dan kewangan disebabkan oleh tsunami data tidak berstruktur yang besar, perlu dianalisa bagi mengupas dan menghasilkan satu keputusan yang berkualiti,” katanya.
UTM telah pun mengorak langkah dalam agenda negara untuk memastikan pakar sains data dan analitik data besar yang terhasil adalah berkualiti melalui UTM Big Data Centre untuk memastikan agenda kesefahaman berjaya dilaksanakan.

“UTM Big Data akan menjadi hab penyelidikan analitik data besar dan pembelajaran pintar mesin berkelajuan pantas serta bakal menawarkan sijil professional sains data dan analitik data besar dalam masa terdekat ini,” katanya.

Prof. Azlan (kanan) dan Marc Hamilton menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.
Prof. Azlan (kanan) dan Marc Hamilton menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Explore More