April 29, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 29 Mac – Program MyAgrosis yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mula membuahkan hasil dengan pemulangan separuh daripada jumlah pinjaman yang diberikan.
Projek yang mendapat kelulusan pada bulan Disember 2013 itu kini telah berjaya memberikan pulangan sebanyak RM8,500.00 daripada nilai pinjaman yang diberikan iaitu RM18,000.00.
Penyelaras Projek, Ishak Ahmad berkata untuk musim pertama (Julai 2014 – Disember 2014), program ini telah berjaya memulangkan separuh daripada modal yang dipinjamkan di bawah Skim Mikrokredit Hal Ehwal Mahasiswa (HEMA) UTM.
“Ini menunjukkan program ini berjalan mengikut apa yang telah dirancangkan dan mencapai matlamatnya bagi melahirkan usahawan tani di kalangan mahasiswa UTM,” katanya.
Sebanyak dua bidang tanah telah diperuntukkan bagi projek ini iaitu di Dusun UTM dan juga di Kampung Rantau Panjang, Bukit Besar, Kulaijaya.
“Dalam menjayakan projek ini, kami juga mendapat bantuan dari agensi-agensi pertanian seperti Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Bantuan yang dihulurkan berbentuk benih nanas dan geran penyelidikan yang berjumlah RM60, 000.00. Kami juga diberikan inkubator bagi tanaman cili dan Lada Kulai. MARDI turut memberikan latihan dan bimbingan,” katanya.
Ishak juga tidak menolak kemungkinan untuk meluaskan projek tersebut kepada aktiviti penternakan pada masa hadapan jika keadaan mengizinkan.
“Dalam jangka masa panjang kita akan memohon pada UTM bagi menyewa lebih banyak tanah di dalam dan luar kampus untuk meluaskan lagi projek ini kepada aktiviti penternakan kambing dan lembu pula,” katanya.
Antara tanaman yang diusahakan di Kebun Dusun UTM adalah Cili Besar Kulai, Cili Padi dan Pokok Tin manakala Ladang di Kulaijaya pula ditanam dengan tanaman nanas, serai, gaharu dan sengkuang.

Ishak (kanan sekali) menunjukkan pokok buah Tin di Dusun UTM.  Selain di Dusun, UTM juga menyewa tapak tanah di daerah Kulaijaya khusus bagi projek ini.
Ishak (kanan sekali) menunjukkan pokok buah Tin di Dusun UTM. Selain di Dusun, UTM juga menyewa tapak tanah di daerah Kulaijaya khusus bagi projek ini.

Explore More