November 23, 2024

Search
Close this search box.

Transformasi Ekopelancongan Kampung Sungai Melayu

Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM menerusi suntikan dana sebanyak RM70 ribu daripada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Kementerian Pendidikan Malaysia telah berjaya melaksanakan pelancaran Program Libatsama Komuniti UTM: Transformasi Ekopelancongan Kampung Sungai Melayu pada 20 Disember 2014 (Sabtu) lalu. Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) iaitu YBhg. Tuan Haji Amran bin A. Rahman dan mendapat kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan lain seperti MPJBT, Jabatan Penerangan Malaysia, IRDA, MARA Negeri Johor, Tekun Nasional, Jabatan Pelancongan Negeri Johor dan Tourism Malaysia.
Kampung Sungai Melayu yang terkenal sebagai lokasi migrasi pelbagai jenis burung dari serata dunia ini bakal berubah wajah apabila ditransformasikan secara lestari dengan Pelancaran Program Libatsama Komuniti UTM yang melibatkan proses transformasi ekopelancongan kepada komunitinya semalam. Bagi menyahut seruan kerajaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menumpukan program-program komuniti yang berimpak, masa perlaksanaan yang pantas, kos rendah dan juga lestari, penyertaan beberapa fakulti di Universiti Teknologi Malaysia amat bertepatan dengan hasrat tersebut.
Para pensyarah dan penyelidik serta lebih 100 orang pelajar yang terdiri daripada beberapa fakulti iaitu Fakulti Alam Bina, Fakulti Pengurusan, Fakulti Pendidikan, Akademi Bahasa dan Pusat Ko-kurikulum bersama-sama berganding bahu bagi membantu proses mentransformasikan sektor ekopelancongan kampung tradisi yang didiami oleh 100% orang Melayu ini.
Fakulti Alam Bina membantu di dalam membuat lakaran dan cadangan pewajahan fizikal yang jauh lebih cantik dan menarik. Di antaranya menerusi binaan stainless steel mercu tanda Kampung Sungai Melayu yang baharu berbentuk bubu ikan yang bakal menjadi daya tarikan pelancong untuk sudut bergambar dan berlatarbelakangkan hutan bakau yang masih belum tercemar.
Selain itu, Taman Pesisir Sungai (Esplanade) juga bakal menjadi titik tolak perubahan transformasi pewajahan pesisir tepi sungai sebagai taman rekreasi keluarga dan pelancong dari dalam dan luar negara. Menyedari pentingnya pemuliharaan dan pengenalan pelbagai spesis pokok bakau di kampung ini juga, peletakan papan tanda spesis pokok bakau juga akan membantu sektor ekopelancongan kampung ini.
Menerusi aktiviti yang dibuat oleh para pensyarah daripada Fakulti Pengurusan pula, program Transformasi Keusahawanan Sosial dibuat melalui Bengkel Keusahawanan Sosial, Eksplorasi Komuniti, Penyediaan Pelan Perniagaan serta Pelan Inovasi bagi usahawan dan bakal usahawan serta slot “Pitching to Win”. Dalam slot “Pitching to Win” seramai 3 orang panel dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tekun Johor dan IRDA dipilih bagi membuat penilaian.
Menyedari juga wujudnya jurang komunikasi Bahasa Inggeris yang sangat serius, beberapa orang pensyarah dari Akademi Bahasa tampil untuk membantu penduduk kampung terutama para nelayan cara-cara berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Program tersebut dijangka akan terus dijalankan pada tahun hadapan agar dapat membantu memantapkan penguasaan bahasa tersebut dengan lebih berkesan terutama apabila berdepan dengan para pelancong asing terutama dari negara-negara Eropah dan barat lainnya.
Lokasi kampung yang strategik iaitu berdekatan dengan Kota Iskandar Nusajaya, Taman Tema Legoland dan Hello Kitty serta dikelilingi beberapa universiti ternama dan dihubungkan tidak jauh dari lebuhraya ke bandaraya Johor Bahru, Kampung Sungai Melayu ini sesungguhnya kaya dengan pelbagai hasil laut seperti kupang, ketam, udang galah dan banyak lagi serta menjadi aktiviti utama penduduk di sekitar kampung ini.
Kampung Sungai Melayu ini telah dijadikan sebagai salah satu tarikan ekopelancongan di Johor yang masih lagi asli dan semakin mendapat tempat di hati pelancong. Antara pelancong-pelancong yang pernah datang ke sini adalah dari Australia, London, Jepun, China dan Rusia. Keunikan asam pedas ikan sembilang di kampung ini juga menjadi salah satu signature dish yang perlu dicuba selain perusahaan membuat keropok kupang dan belacan yang menjadi mata pencarian penduduk kampung.

Explore More