JOHOR BAHRU, 11 Jun 2014 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif melancarkan Kempen Sumbangan Endowmen Ramadan dan Syawal 2014 sempena ketibaan bulan mulia tersebut tidak lama lagi.
Kempen tersebut bertujuan memberi peluang kepada warga UTM meliputi kakitangan, mahasiswa, alumni, individu persendirian dan juga syarikat korporat untuk memberi sumbangan bagi mengisi dana Tabung Endowmen UTM.
Pada masa yag sama, kempen yang diadakan setiap tahun sejak tabung berkenaan ditubuhkan mampu menyubur dan menyemarakkan budaya menyumbang serta menderma di kalangan warga kampus itu.
Selain itu, kempen yang dijalankan juga memberi peluang kepada mereka yang ingin menyumbang dan melakukan amal jariah terutamanya di bulan yang penuh dengan keberkatan ini.
Majlis pelancaran kempen berkenaan telah dilakukan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid bin Omar di Dewan Senat, UTM Johor Bahru, di sini, hari ini.
Mana-mana individu atau badan korporat yang ingin menyumbang pada kempen yang dijalankan bolehlah mengemukakannya kepada Unit Endowmen, Pejabat Bendahari, UTM.
Untuk makluman, Tabung Endowmen UTM diwujudkan bertujuan untuk mengumpul dana bagi menyediakan biasiswa kepada mahasiswa cemerlang dan juga merancakkan aktiviti-aktiviti kesarjanaan ilmu di UTM.
Sehingga kini sebanyak 50.2 juta telah berjaya dikumpul menerusi sumbangan oleh pelbagai pihak antaranya ahli lembaga pengarah, alumni UTM, staf, syarikat korporat dan persendirian serta orang ramai.