November 24, 2024

Search
Close this search box.

UTM miliki Makmal Ujibakar Tiang pertama di Malaysia

JOHOR BAHRU, 22 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah merevolusikan bidang teknologi konkrit apabila memiliki Makmal Ujian Kebakaran pertama di negara ini yang boleh menguji bakar tiang.
Makmal yang terletak di UTM Technovation Park telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.
Dr.Abu Bakar dalam kenyataannya selepas acara perasmian makmal tersebut berkata kemudahan yang dimiliki UTM itu adalah satu-satunya makmal yang ada di Malaysia untuk menguji bakar struktur tiang dalam kepanasan yang tinggi.
“Kebiasaannya makmal uji bakar dalam teknologi konkrit ini digunakan untuk ujian bakar dinding tetapi situasi di UTM amat berlainan sekali dimana ia dipakai khas untuk menguji bakar tiang sehingga mencapai suhu maksimum 1700 darjah celcius,” katanya.
Fungsi utama makmal ini adalah untuk menguji tiang dalam suhu yang tinggi dan beban sehingga 100 tan.
“Adalah diharapkan dengan tertubuhnya Makmal Ujian Kebakaran ini, pelbagai pihak terutamanya pelajar dan penyelidik dapat menggunakan kemudahan ini dalam menjalankan penyelidikan masing-masing,” katanya.
Turut serta dalam majlis adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Azraai Kassim, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Prof. Dr. Shahrin Mohammad dan Dekan Penyelidikan Bersekutu (Research Allience) Construction, Prof. Dr. Muhd. Zaimi Abd. Majid.
Majlis diteruskan dengan lawatan kerja Timbalan Menteri MOSTI ke Pusat Penyelidikan Pembinaan UTM atau Construction Research Center (CRC) dan melihatkan pameran-pameran produk penyelidikan yang telah dijalankan oleh para penyelidik UTMCRC.

Dr. Abu Bakar (empat kiri) dan Prof. Azraai memotong reben sebagai tanda pelancaran Makmal Ujian Kebakaran UTM.
Dr. Abu Bakar (empat kiri) dan Prof. Azraai memotong reben sebagai tanda pelancaran Makmal Ujian Kebakaran UTM.

Explore More