April 27, 2024

Search
Close this search box.

Eksplorasi Pelajar UTM Ke ISS 2013, Jepun

Eksplorasi Pelajar UTM Ke ISS 2013, Jepun

>Oleh Muhammad Azizol Ismail

JOHOR BAHRU– Mengangkat tema “The Role of Engineers in Solving Environmental Problems” satu seminar antarabangsa yang dikenali sebagai International Student Seminar (ISS) 2013 telah dianjurkan dengan jayanya bertempat di Toyohashi University of Technology (TUT), Jepun. Program ISS 2013 ini telah berlangsung selama 10 hari bermula 2 September sehingga 11 September 2013. Di samping Universiti Teknologi Malaysia (UTM), ISS 2013 telah mendapat penyertaan dari empat buah negara Asia iaitu Institut Teknologi Bandung (ITB) Indonesia, Ho Chi Minh City University of Technology (HCMUT) Vietnam, dan TUT Jepun selaku tuan rumah pada tahun ini.
Sejajar dengan tagline UTM iaitu Inovatif, Entrepreneurial, Global, UTM telah menghantar enam orang mahasiswa unggul dan terpilih terdiri daripada tiga orang Mahasiswa Sarjana dan tiga orang Mahasiswa Sarjana Muda. Mereka ialah Muhammad Azizol Bin Ismail (Geo-Informatik), Noor Izzati Bte Ariff (Teknologi Pendidikan), Nurul Izzanie Binti Adnan (Teknologi Pendidikan), Peng Pei Fen (Kejuruteraan Kimia), Teh Wen Jie (Ukur Bahan) dan Yusra Nazira Binti Mohd Yusop (Biologi). Mereka turut diiringi oleh dua orang kakitangan UTM iaitu Dr. Azurah Binti A Samah (Pensyarah Kanan) dan Puan Siti Rahimah Binti Mohd Yusop (Penolong Pendaftar Mobiliti Pelajar).
Melalui ISS 2013, mahasiswa diberi taklimat oleh pakar-pakar daripada pelbagai bidang penyelidikan dan berpeluang untuk melawat pusat penyelidikan termaju TUT seperti Electronics-Inspired Interdisciplinary Research Institute (EIIRIS), Venture Business Laboratory (VBL), dan Center for Human-Robot Symbiosis Research. Di sini, peserta dapat melihat penyelidikan terkini dan amat menarik yang sedang dibangunkan oleh pihak TUT. Justeru, ini mampu menjana konseptual paradigma peserta ISS 2013 supaya berupaya mencetuskan idea yang bernas serta inovatif selaku penerus kesinambungan legasi jurutera muda untuk kemapanan negara masing-masing apabila pulang ke tanah air kelak.

Selain itu, lawatan industri ke Yamaha Motor Company Limited yang terletak di Iwata, Shizuoka turut diadakan. Mahasiswa berpengalaman meninjau sendiri bagaimana proses pasang siap kenderaan berjenama Yamaha dilakukan dengan penuh cermat dan mengikut spesifikasi tinggi yang telah ditetapkan. Ini sedikit sebanyak dapat menambahkan ilmu pengetahuan mahasiswa mengenai cara kerja dan mutu pembuatan sesuatu produk sebelum dipasarkan secara global.
Bak kata pepatah Melayu, “Jauh perjalanan, luas pemandangan”, mahasiswa berpeluang menimba pengalaman baru mengenai adat dan kebudayaan tradisional masyarakat Jepun. Salah satu aktiviti menarik yang diaturkan adalah Japanese Tea Ceremony iaitu mahasiswa didedahkan akan suasana upacara tradisional minum teh Jepun atau dikenali sebagai Sado. Mahasiswa diajar langkah demi langkah mengenai seni menikmati rasa teh yang dihidangkan. Apa yang diperhatikan, upacara ini disulami penuh dengan etika kelembutan, kesopanan dan ketelitian. Rata-rata mahasiswa yang ditemui mengaku bahawa ini merupakan pengalaman pertama mereka menghadiri upacara seumpama ini.
ISS 2013 turut menginjak mahasiswa ke satu sudut dimensi baru apabila mahasiswa berkesempatan untuk menjalani program homestay. Setiap mahasiswa akan diamanahkan kepada keluarga angkat Jepun masing-masing selama tiga hari iaitu bersempena hujung minggu. “Melalui program homestay yang dijalankan, saya berpeluang mempelajari masakan Jepun dan memperkenalkan masakan Nasi Lemak kepada keluarga angkat, “ ujar Noor Izzati.
Pada hari terakhir program, setiap mahasiswa berjumlah 40 orang yang telah dibentuk kepada enam kumpulan membentangkan segala ideologi, analisis mahupun penyelesaian kreatif mereka mengenai alam sekitar. Antara topik yang disentuh merangkumi isu kitar semula, pemanasan global, urbanisasi, kemapanan, bangunan mesra alam, dan bencana alam.
“ISS2013 memberi impak yang sungguh signifikan bagi saya kerana ia mengajar saya berfikir secara global dan bertindak secara lokal di samping menerima dan memahami tentang pelbagai perspektif budaya, sosial masyarakat yang berbeza,” jelas Azizol.
Secara tuntasnya, program pengantarabangsaan seperti ini mampu memberi pulangan yang sungguh lumayan kepada pembangunan modal insan pelajar, universiti dan negara agar berupaya untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. UTM berada pada landasan yang tepat dan utuh dengan menawarkan pelbagai program pengantarabangsaan yang dikenali sebagai Program Mobiliti Pelajar.

Explore More