UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) menyasarkan meraih pendapatan RM100 juta daripada perjanjian pelesenan selama lima tahun dengan Nexus Protocol Ltd untuk memasarkan empat produk teknologi maklumatnya (IT) di Eropah.Naib Canselornya, Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata perjanjian itu, yang ditandatangani pada 12 Disember tahun lalu adalah memasarkan perisian yang dibangunkan universiti itu kepada pelanggan institusi dan individu.
“Kami mengenal pasti Nexus Protocol sebagai rakan usaha sama untuk menjalinkan kerjasama pintar dalam mengkomersilkan produk IT UTM di luar Malaysia terutama di Eropah,” katanya pada sidang media di cawangan UTM Kuala Lumpur, semalam,Turut hadir ialah Pengarah Urusan Nexus Protocol Hamidi Rahman.
Manfaat pengalaman
Zaini berkata, UTM akan memanfaatkan pengalaman Nexus Protocol yang berpangkalan di Oxford, London, dan jaringan perniagaannya di Eropah dan Asia Tenggara untuk memberikan lebih pendedahan bagi produk hasil penyelidikan universiti berkenaan di peringkat antarabangsa.
Menerusi perjanjian itu, katanya Nexus Protocol akan memasarkan 20 produk berasaskan IT UTM secara berperingkat dengan pemilihan empat perisian sebagai permulaan.
Katanya, empat produk itu ialah ‘MyLine Online Resources for Learning in English’, ‘Laboratory Information Management System’, ‘Human Resource Management Information System’ dan ‘Wastewater Treatment Plan Design Advisor’.
Beliau berkata, dua produk lagi akan diperkenalkan pada tahun ini, iaitu ‘Thalassemia Disease Mortality Prediction’ dan Sistem Tebatan Banjir. Katanya, perisian berkenaan ada antaranya sudah digunakan secara meluas di dalam negara dan mempunyai potensi untuk dipasarkan pada peringkat global tetapi tidak mampu untuk direalisasikan oleh UTM secara bersendirian kerana keupayaan yang terhad.
Tingkat daya saing produk
Nexus Protokol, yang dilantik sebagai wakil jualan UTM di luar negara, juga akan bertindak menasihati dan memudahkan universiti itu dalam meningkatkan daya saing produknya pada peringkat global., katanya.
Zaini berkata, usaha pengkomersialan dengan Nexus Protocol itu dimulakan oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UTM, sebuah unit yang bertanggung jawab menjaga dan memasarkan harta intelektual universiti itu, yang kini dianggarkan mempunyai lebih kurang 2,800 paten.
Perjanjian berkenaan adalah yang kedua bagi UTM selepas menandatangani perjanjian yang sama dengan Stanford Research Institute International yang berpangkalan di Lembah Silikon, California, untuk memasarkan produk UTM ke Amerika Syarikat, Jepun dan China, katanya. – BERNAMA