November 25, 2024

Search
Close this search box.

Canselor UTM berangkat ke majlis penghargaan Tun Abdullah Ayub

KUALA LUMPUR, 15 Julai; Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah mencemar duli berangkat ke majlis makan malam bagi menghargai mantan Pro Canselor Tun (Dr) Abdullah Ayub di Hotel Mandarin Oriental.

Majlis berkenaan dihadiri oleh semua tiga Pro Canselor Yang Berhormat Dato’ Dr. Muhammad Ridzuan Hj. Salleh, Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Salleh Mohd Noor dan Tan Sri Dato’ Dr. Yahya Awang serta isteri masing-masing.

Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Abdul Halim Ali dan isteri serta beberapa ahli Lembaga Pengarah UTM turut hadir.

Naib Canselor Profesor Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang dalam ucapannya berkata, seluruh warga UTM merasai kehilangan seorang tokoh yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara tercinta dan UTM.

“Yang Berbahagia Tun tidak pernah berasa jemu memberi sokongan dan mencurah ilmu pengetahuan serta pengalaman bagi memastikan UTM berada di tahap yang tinggi dari segi pencapaian kualiti akademik mahasiswa dan tenaga akademiknya untuk memiliki pengetahuan yang setanding dengan universiti luar negara.

“Tun merupakan pemimpin yang amat prihatin terhadap pembangunan modal insan sehingga sanggup turun padang bagi menjayakan Seminar Kecemerlangan Bumiputera bagi memastikan peningkatan prestasi mahasiswa bumiputera di UTM,” katanya.

Naib Canselor berkata, Tun juga komited menyumbangkan dalam Tabung Endowmen UTM yang kini telah mencecah RM15 juta.

Di majlis berkenaan Tun menerima cenderamata jubah dan mortar board yang sering dipakai sepanjang berkhidmat sebagai Pro Canselor, sebuah album dan sebuah plaque kristal yang disampaikan oleh Canselor UTM.

Tun Abdullah telah menjadi Pro Canselor selama 13 tahun bermula dari 1 Julai 1998 hingga 30 Jun 2011.

Explore More