November 22, 2024

Search
Close this search box.

Konvokesyen ke47: Malam Puisi Riong UTM 2011 bawa tema Lestari Alam


 

25 September: – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Berita Harian telah menganjurkan  Malam Puisi Riong di Festival Konvokesyen UTM ke-47, malam tadi.

Antara matlamat penganjuran acara ini adalah untuk mempromosikan aktiviti seni seperti puisi, seloka, syair dan sebagainya kepada masyarakat sekitar.

Penganjuran ini juga bertujuan membuktikan bahawa UTM yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf dunia, memberikan ruang sewajarnya kepada warganya untuk berkarya dan seterusnya menghayati nilai yang ada pada seni.

Hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajuddin Ninggal dan Pengarah Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Acara yang berlangsung di Padang Kawat PALAPES itu telah menampilkan beberapa personaliti seni negara iaitu Sasterawan Negara ke-11, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala, penggubah, pencipta dan penyayi lagu puisi, Ahmad Ramli, vokalis kumpulan Kopratasa, Sani Sudin dan penyair muda kelahiran Johor, Amni Jagat.

Turut tampil membuat persembahan adalah peserta akademi Nasyid Cicik, Yusoff Ramji, Prof. Madya Dr. Rahman Shaari dan kartunis terkenal negara Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat.

Malam Puisi Riong 2011 membawa tema Lestari Alam sesuai dengan kempen kampus mesra alam yang dilaksanakan UTM sejak tahun lalu.

Prof. Tajuddin juga sempat membacakan puisi hasil nukilan Sasterawan Negara Usman Awang yang bertajuk ‘Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar’.

Explore More