Pelajar tahun 3 Sarjana Muda Sains (Pengurusan Ekuin) telah menganjurkan progam “In-House Show Jumping Competition 2019” yang diadakan pada 7 Disember 2019 lalu di Taman Ekuin, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kampus Johor Bahru.
Pelajar tahun 3 yang lebih dikenali sebagai “Destrier” ini telah berjaya memukau semua warga UTM.
Bukan itu sahaja, penduduk sekitar Johor Bahru juga tidak melepaskan peluang menyaksikan pertandingan Showjumping dan mengikuti aktiviti-aktiviti yang telah disediakan.
Terdapat pelbagai jenis aktiviti telah dilaksanakan iaitu ‘Pet’s Care Day’, ‘Mini Petting Zoo’, ‘Horse Fun Ride, ‘Mini Food Baazar’ dan aktiviti utama adalah ‘In-House Showjumping’ dan juga ‘Run and Cycle Competition’ dan diakhiri dengan majlis penutupan program.
Program yang berkonsepkan semangat kesukanan dan bekerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi, memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa dan mahasiswi, sekali gus mendedahkan masyarakat setempat berkaitan dunia sukan berkuda.
Menurut Pengarah Program In-House Show Jumping 2019, Amirul Asyraf, program tersebut merupakan aktiviti tahunan anjuran pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Ekuin, namun tahun ini terdapat sedikit perbezaan dengan penambahan aktiviti sampingan bagi meningkatkan kehadiran pengunjung dan secara tidak langsung mempromosi sukan berkuda kepada masyarakat setempat amnya dan warga UTM khususnya, sekaligus memperkenalkan kursus pengajian mereka.
Salah seorang pengunjung, Shahrul Ridzuan Bin Razak yang merupakan warga Johor Bahru telah memberikan reaksi yang positif bagi program ini.
“Program seperti ini amat bagus kepada warga sekitar Johor bagi mengenali dan mendekatkan diri dalam dunia berkuda kerana ianya sesuatu yang bukan mudah untuk mendapat peluang melihat sukan ini.
Saya bersyukur kerana dapat melihat sendiri sukan berkuda ini dan amat teruja melihat para pelajar yang berbakat di dalam sukan showjumping ini. Saya berharap akan ada lagi program seperti ini selepas ini”.
Antara kumpulan yang terlibat di dalam In-House Showjumping 2019 adalah para pelajar Sarjana Muda Sains (Pengurusan Ekuin), Horse Valley Academy Team dan Johor Endurance Team.
Selain itu, pelajar “Destrier” juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penaja yang telah sudi menaja program tersebut seperti Klinik Haiwan Dr. Ain, Equine KL, Horse Valley Academy, Vonti Clothier Sdn. Bhd.
Ucapan jutaan terima kasih juga diucapkan kepada warga UTM, warga Johor Bahru dan sekitar yang telah bersama-sama mengikuti dan menjayakan program ini.