Mei 13, 2025

Featured Image

UTM sokong penubuhan MyCeL 2.0, lonjak agenda Pendidikan Digital

KUALA LUMPUR, 13 Mei  – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya dalam melonjakkan agenda pendidikan tinggi negara melalui penglibatan aktif dalam inisiatif digital nasional. Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohamad Shatar Sabran, bagi membincangkan penubuhan Malaysia Centre for e-Learning 2.0 (MyCeL 2.0).

Turut serta dalam sesi strategik ini ialah wakil daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Prof. Madya Dr. Azidah Abu Ziden, bersama beberapa pegawai kanan MQA dan KPT. Delegasi UTM pula terdiri daripada Prof. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), serta Prof. Madya Dr. Nurbiha A. Shukor, Pengarah Pusat Pembangunan Pendidikan Digital dan Fleksibel (CDeX).

Pertemuan ini menzahirkan kesepakatan untuk memperkasa ekosistem pembelajaran digital negara melalui penubuhan MyCeL 2.0 yang dijangka menjadi pusat rujukan kebangsaan dalam bidang pembelajaran digital, terbuka dan fleksibel. Ia akan berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan dasar, penyelidikan, inovasi pedagogi digital, pembangunan profesional pensyarah serta pembangunan teknologi sokongan pembelajaran dalam talian.

Menurut Prof. Dr. Shafry, UTM menyambut baik penubuhan MyCeL 2.0 yang dilihat sebagai satu langkah penting ke arah transformasi pendidikan tinggi Malaysia. Beliau berkata, “UTM komited menyokong inisiatif ini melalui perkongsian kepakaran, penyelidikan serta teknologi yang telah dibangunkan di universiti. Ini adalah sejajar dengan aspirasi UTM untuk ‘Menginovasi Penyelesaian Lestari’ dan menerajui pendidikan berorientasikan masa hadapan.”

Tambah beliau lagi, UTM telah lama menjadi peneraju dalam pelaksanaan pembelajaran dalam talian melalui pelbagai platform digital termasuk UTMOpenCourseware, UTM MOOC, UTM HyFlex, serta pendekatan pembelajaran berasaskan hasil (OBE) yang disokong oleh teknologi.

MyCeL 2.0 dijangka akan berperanan mempertemukan pelbagai pihak berkepentingan — termasuk universiti, agensi kerajaan, industri dan komuniti global — dalam usaha membentuk satu sistem pembelajaran digital yang inklusif, berkualiti tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Ini juga selari dengan hasrat negara untuk muncul sebagai hab pendidikan tinggi serantau yang berteraskan keterbukaan dan fleksibiliti pembelajaran.

Melalui kerjasama strategik ini, UTM bertekad untuk terus menjadi pemangkin perubahan dalam ekosistem pendidikan tinggi nasional dalam mendepani cabaran era digital dengan pendekatan yang lestari, mampan dan berpaksikan nilai.

 

Kerana Tuhan Untuk Manusia | Menginovasi Penyelesaian Lestari

Explore More