JOHOR BAHRU, 14 Mei — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menyemarakkan kepelbagaian budaya melalui penganjuran Festival of Languages and Cultures (FLC) sempena ulang tahun ke-15 penubuhan Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH). Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pro-Canselor UTM, berkenan berangkat mencemar duli ke festival yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru.
Festival tersebut menyatukan peserta dari Malaysia, Vietnam, dan Filipina dalam satu perayaan ilmu, warisan dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat, memperkukuh peranan UTM sebagai hab kecemerlangan pendidikan multibahasa dan silang budaya di peringkat antarabangsa.
Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, “Kami amat terinspirasi dengan advokasi Che’ Puan Mahkota dalam memperjuangkan golongan orang kelainan upaya. Sokongan Che’ Puan Mahkota terhadap masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif sangat seiring dengan misi kami — menjadikan bahasa sebagai jambatan ke arah kesaksamaan dan pemberdayaan. Di UTM, kami percaya bahawa akses kepada bahasa adalah akses kepada peluang,”.

Beliau turut menekankan bahawa Akademi Bahasa telah berkembang daripada hanya menawarkan pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua kepada pusat pembelajaran pelbagai bahasa antarabangsa seperti Perancis, Arab, Mandarin, Korea dan Jepun, mencerminkan transformasi institusi selaras dengan matlamat pendidikan global.
Selain kecemerlangan akademik, Akademi Bahasa aktif menjalankan program pemberdayaan masyarakat merentasi pelbagai lapisan, termasuk kanak-kanak kurang berkemampuan, komuniti Orang Asli dan individu neurodivergen. Program seperti Sekolah Angkat memperkasa pelajar daripada keluarga B40 untuk menulis dan menerbitkan buku cerita dalam Bahasa Inggeris, diilhamkan daripada Adam’s Seagrass Adventure — hasil kerjasama antara pensyarah UTM dan Kelab Alami Mukim Tanjung Kupang, dengan sokongan Geran Karbon Rendah Iskandar Puteri.
Akademi Bahasa turut menjadi antara pasukan perintis dalam pembangunan MyTranslate — sistem terjemahan berasaskan kecerdasan buatan (AI) melalui kerjasama strategik bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kebolehcapaian bahasa melalui teknologi, malah akan menyumbang kepada pembangunan korpus Bahasa Melayu Malaysia pertama yang dihasilkan menerusi projek ini.
Pada April lalu, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China, Kementerian Pendidikan menerusi ITBM telah memeterai perjanjian kerjasama bagi menterjemah dan menerbitkan karya sastera terkemuka dari kedua-dua negara. Akademi Bahasa UTM turut memainkan peranan penting dalam menyukseskan inisiatif tersebut.

Keseluruhan inisiatif ini membuktikan bahawa Akademi Bahasa bukan sekadar entiti akademik, tetapi pemangkin kepada keterangkuman, inovasi, pertukaran budaya dan pembinaan negara melalui bahasa dan pemahaman rentas budaya. Festival ini turut dimeriahkan dengan persembahan kesenian pelbagai budaya, bengkel bahasa antarabangsa serta pameran interaktif, sekali gus menonjolkan bahasa sebagai medium pemersatu umat manusia dan wadah ke arah perpaduan global.




Turut hadir, barisan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU); barisan Timbalan Naib Canselor; Timbalan Presiden University of Social Sciences and Humanities, Vietnam National University; Pendaftar; Dekan FSSH; dan Pengerusi Akademi Bahasa.