KUALA LUMPUR, 19 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi sebahagian daripada penyumbang utama dalam pembangunan Malaysia’s AI Strategic yang dilancarkan secara rasminya hari ini. Majlis perasmian yang dianjurkan oleh Skyvast ini turut dihadiri Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin, mewakili UTM yang hadir bersama beberapa wakil institusi dan industri.
Menerusi pelancaran Malaysia’s AI Strategic Infrastructure ini merupakan satu sejarah baharu bagi Malaysia yang bertujuan membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) negara. Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, dan disaksikan oleh pemimpin industri, pakar teknologi serta rakan antarabangsa. Sebagai simbolik pelancaran, model GPU yang digunakan dalam infrastruktur AI turut diperkenalkan kepada umum.



Sebagai tunjang ekosistem AI ini, Skyvast dan Huawei memainkan peranan utama. Huawei bertanggungjawab menyediakan teknologi teras dan sistem pengkomputeran berprestasi tinggi yang menjadi asas kepada pembinaan infrastruktur AI negara. Leadyo pula mengendalikan proses pengesahan pelayan AI yang menjana model bahasa besar pertama Malaysia, DeepSeek.

Pelancaran Malaysia’s AI Strategic Infrastructure ini melibatkan pembangunan ekosistem yang merangkumi pelbagai lapisan teknologi, daripada pelayan AI, pusat data, sistem awan, hingga aplikasi pengguna akhir. Ini adalah satu langkah penting dalam memastikan Malaysia menjadi negara yang terkemuka dalam bidang teknologi AI.
Satu lagi detik penting dalam pelancaran ini adalah pertukaran Memorandum Persefaham (MoU) antara UTM dan iFiber kerjasama bersama Skyvast, yang akan membekalkan teknologi infrastruktur untuk AI di UTM. MoU ini mengukuhkan komitmen jangka panjang terhadap kerjasama digital berasaskan kepercayaan antara pihak yang terlibat. Langkah ini menjadi bukti usaha berterusan untuk memastikan Malaysia dan UTM terus memimpin dalam era kecerdasan buatan dan teknologi digital.

Selain itu, Malaysia-China Trusted Data Zone juga turut diumumkan, membuka laluan bagi pembangunan teknologi AI rentas sempadan yang berasaskan kepercayaan dan inovasi terbuka. Pelancaran ini mengukuhkan komitmen negara untuk terus memimpin dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan, dengan UTM turut memainkan peranan dalam memajukan bidang ini.