JOHOR BAHRU, 19 Mei – Sesi Libatsama dan Promosi antara Johor Talent Development Council (JTDC) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dipengerusikan oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) telah berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, UTM Johor Bahru.
Turut hadir, barisan kepimpinan akademik UTM yang terdiri daripada Pengerusi, Dekan dan para Timbalan Dekan fakulti. Wakil-wakil utama JTDC yang turut serta termasuk Encik Herman Raban (Pengurus Besar, Unit Strategik Modal Insan Johor), Puan Noorfathana Jaini (Ketua, HRD Corporation Johor), dan Encik Zuhair Zaharuddin (Pegawai Tadbir, JTDC SMI).

Mesyuarat ini merupakan sebahagian daripada usaha JTDC untuk memperkukuh kerjasama strategik antara agensi pembangunan bakat negeri dan institusi pengajian tinggi dalam memastikan pembangunan modal insan Johor yang lebih tersusun, responsif dan berimpak tinggi.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah penubuhan Taskforce JTDC peringkat UTM, yang akan berfungsi sebagai penghubung rasmi antara UTM dan JTDC dalam menyelaras pelaksanaan inisiatif pembangunan bakat.
Taskforce ini akan memainkan peranan penting dalam beberapa aspek utama, termasuk penyelarasan strategik dasar dan program, perancangan serta pelaksanaan program pembangunan bakat berteraskan industri, pengukuhan jaringan kerjasama antara UTM, industri dan agensi kerajaan, serta pelaporan dan pemantauan impak program.
Selain itu, Taskforce ini juga akan bertanggungjawab dalam aspek pengurusan data pelajar dan graduan, termasuk keperluan latihan dan kebolehpasaran, yang akan dikemas kini secara berkala bagi menyokong perancangan strategik negeri.

JTDC turut membentangkan peranannya dalam menyokong pembangunan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), yang dijangka mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun. JTDC berfungsi sebagai pemudah cara antara keperluan industri dan institusi latihan, dengan memastikan penawaran program akademik, TVET dan latihan profesional selari dengan kehendak pasaran kerja. Ini termasuk penyelarasan program pensijilan industri, penempatan latihan industri, serta penyesuaian kurikulum agar lebih relevan dan berorientasikan kerjaya.
Dalam pembentangan korporat oleh JTDC, turut ditekankan tumpuan terhadap 10+1 sektor strategik yang dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Sektor-sektor tersebut merangkumi ekonomi digital, tenaga, perkhidmatan perniagaan, pendidikan, perkhidmatan kewangan, kesihatan, pembuatan, keselamatan makanan, logistik, pelancongan dan ekonomi hijau. Kesemua sektor ini memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran semasa, malah mampu bersaing secara kompetitif di peringkat serantau dan global.
Mesyuarat antara Johor Talent Development Council (JTDC) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membuka peluang kepada UTM untuk memainkan peranan yang lebih strategik dalam pembangunan bakat negeri Johor melalui pelantikan wakil rasmi dalam Taskforce JTDC, penyediaan data dan laporan berkaitan pelajar serta keperluan latihan, dan penglibatan aktif dalam pelaksanaan program bersama. Peranan ini membolehkan UTM menyumbang secara langsung dalam penyelarasan dasar, pelaksanaan inisiatif pembangunan bakat berteraskan industri, serta memperkukuh hubungan antara akademia dan sektor pekerjaan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Menerusi sesi ini, komitmen bersama antara UTM dan JTDC diperkukuh dalam memastikan graduan UTM bukan sahaja berdaya saing, malah mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi negeri. Ia juga menandakan permulaan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama yang akan memperkukuh ekosistem bakat Johor menjelang tahun 2030, selaras dengan visi negeri untuk menjadi hab ekonomi dan pelaburan utama di rantau ini.