Mei 14, 2025

side view people putting hands together

Transformasi amalan inklusif jadi fokus utama Wacana Perkongsian Ilmu KSS Akademi Bahasa

JOHOR BAHRU, 6 Mei – Sesi Perkongsian Ilmu atau Knowledge Sharing Session (KSS) anjuran Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini memasuki kali empat mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila menerima penyertaan lebih daripada 100 orang peserta. Bertemakan “Transformasi Amalan Inklusif di Sekolah dan Tempat Kerja”, sesi secara atas talian ini telah menjadi wadah menghimpunkan pemikiran kritis dan saranan strategik ke arah mewujudkan ekosistem pendidikan dan tempat kerja yang lebih inklusif, adaptif dan lebih peka terhadap keperluan semua.

WhatsApp Image at PM
Sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Dr. Aida A. Rahman dengan tajuk “Transformasi Amalan Inklusif di Sekolah dan Tempat Kerja”

Fokus utama perkongsian ini ialah peralihan daripada pendekatan integrasi kepada pendekatan yang inklusif, khususnya selepas pelaksanaan Rangka Kerja Neurodiversity. Pendekatan integrasi tradisional menuntut individu menyesuaikan diri dengan sistem sedia ada, manakala pendekatan inklusif menekankan keperluan untuk sistem itu sendiri diubah agar mampu menyokong, mengiktiraf dan memanfaatkan individu dengan kebolehan yang pelbagai selain mengambil kira aspek neorodiversiti, dengan meraikan kepelbagaian cara otak manusia berfungsi dan memproses maklumat. Tiada satu cara yang sesuai dan universal untuk semua apabila ianya berkaitan dengan cara minda berfungsi lebih-lebih lagi bagi golongan yang mempunyai fungsi kognitif yang berbeza, seperti individu autistik, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), sindrom Tourette, disleksia, dispraksia, dan sebagainya.

Penceramah, Dr. Aida A. Rahman dari Akademi Bahasa, FSSH, menegaskan bahawa transformasi inklusif bukan sekadar perubahan dasar di atas kertas, tetapi menuntut pemahaman yang komprehensif serta bergerak selari dengan “pembangunan profesional bersifat transformasi”. Latihan biasa tidak mencukupi. Tanpa perubahan pola berfikir dan pendekatan secara tuntas daripada semua pihak berkepentingan, amalan inklusif sukar diterjemahkan dengan jayanya melalui perlakuan.

Antara strategi konkrit yang disarankan Dr. Aida termasuklah pelaksanaan sistem audit dan memupuk budaya kerja dari sudut inklusif. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan melaksanakan kempen kesedaran mengenai kepelbagaian neurologi (neurodiversiti) kepada semua peringkat staf.  Dr. Aida juga mencadangkan agar polisi dan prosedur yang menyokong aspek akses, fleksibiliti dan penyertaan penuh individu berkeperluan. Paling penting, mereka yang mengalami masalah neurodiverse perlu dilibatkan secara langsung dalam proses merancang dan melaksanakan perubahan.

Wadah wacana ini turut merungkai isu sebenar amalan inklusif di UTM. Ianya turut disentuh secara jujur dan terbuka oleh Dr. Norzaidahwati Zaidin yang menyorot situasi di mana terdapat pelajar antarabangsa yang berminat mengambil subjek tertentu, namun terpaksa melupakan hasrat kerana kursus tersebut hanya ditawarkan dalam bahasa Melayu. Akibatnya, pelajar diminta memilih subjek lain walaupun minat mereka terpaksa dilupakan. Isu ini kerap menjadi polemik, menyelongkar jurang sebenar antara dasar inklusif dan pelaksanaannya di peringkat institusi.

Apa yang lebih mengejutkan, penilaian oleh peserta terhadap tahap amalan inklusif di tempat kerja masing-masing berada antara 2 hingga 4 sahaja daripada skala penuh 10, satu petanda jelas bahawa terdapat masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian segera dan tidak seharusnya dipandang enteng.

Menurut salah seorang peserta, Nur Shamsinar Ramli, yang juga berperanan sebagai moderator bagi program ini, sesi perkongsian ini benar-benar membuka mata terhadap tahap sebenar amalan inklusiviti di UTM. Beliau turut menambah bahawa masih terdapat ramai staf yang belum menerima sebarang bentuk latihan yang sesuai dan sebilangan besar juga belum didedahkan dengan sebarang bentuk usaha intervensi untuk memahami konsep inklusiviti, dan perkara ini turut disokong dan dipersetujui oleh Dr. Aida selaku penceramah yang menegaskan tentang peri pentingnya “latihan profesional transformasi” di dalam sesebuah organisasi sebagai manhaj rekayasa, bukan sekadar bersandarkan semata-mata kepada taklimat ringkas atau latihan asas.

WhatsApp Image at PM
Sesi ini telah mendapat sambutan hangat dan sambutan yang memberangsangkan apabila lebih 100 peserta menyertai perbincangan ilmiah ini

Dalam sesi soal jawab pula, Dr. Intan Norjahan Azman berkongsi buah fikiran mengenai cabaran pelaksanaan prinsip inklusif dalam pendidikan. Secara tamsilnya, beliau menekankan bahawa kesamarataan (equality) dan kesaksamaan (equity) hanya dapat dicapai dengan melakukan kajian mendalam seperti tinjauan atau soal selidik bagi mengenal pasti keperluan sebenar sebelum pelaksanaan sebarang dasar dapat digerakkan secara bermakna.

Secara keseluruhannya, siri ke-4 perkongsian ilmu ini bukan sekadar berfungsi sebagai prakarsa perdana perkongsian ilmu, tetapi telah menjadi cerminan jujur terhadap realiti semasa serta uslub kepada perubahan berasaskan kesedaran, empati dan iltizam. Sayugia diingatkan, tansformasi inklusif bukan lagi hanya sekadar idealism, ia sepatutnya menjadi prasyarat utama dalam membina organisasi dan institusi pendidikan yang berdaya saing, beretika dan sejajar dengan nilai global marcaparda ini.

Oleh Dr. Aida A. Rahman, Lokman Hafiz Asary (Akademi Bahasa)

Explore More